malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Remeh-temeh, kata Pemuda DAP ulas isu Jawi di papan tanda
Diterbitkan:  Jul 30, 2020 9:47 PM
Dikemaskini: 2:55 PM
ADS

"Remeh-temeh," kata ciapan Ketua Pemuda DAP Howard Lee yang dicatat menggunakan tulisan Jawi.

Hantaran Howard di Twitter itu turut disertakan pautan berita Malaysiakini yang melaporkan Adun Tras dari DAP Chow Yu Hui memfailkan permohonan mahkamah untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

"Kita patut utamakan perkara yang lebih mendesak," jelas Howard yang juga Adun Pasir Pinji dipercayai menegur tindakan rakan separtinya dari Pahang itu.

Terdahulu Chow dalam pemfailan di Mahkamah Tinggi Kuantan berkata kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.

"Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?" soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata tindakan undang-undang Adun Tras berkenaan "sangat tidak diperlukan" khususnya dengan mengambil kira keadaan politik nasional masa kini.

"Dilakukan kerana sebab-sebab yang dikatakan 'idealistik' tetapi melihat kenyataan, ia satu tindakan yang mementingkan diri sendiri yang didorong oleh sebab-sebab kepentingan diri sendiri.

"Orang-orang yang hendak menjadi 'wira' ini adalah sebab kenapa rakyat melihat DAP sebagai liabiliti," katanya yang juga timbalan pengarah pendidikan politik DAP.

Anggota Jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim (gambar, bawah) pula meminta Chow menarik balik tindakan undang-undang di mahkamah.

"Saya menggesa agar rakan saya YB Chow Yu Hui untuk menarik semula permohonan mahkamah beliau sebaliknya membantu wakil-wakil pertubuhan/persatuan rumah atau kedai ibadat bukan Islam untuk berdialog dan mencari penyelesaian diplomasi dengan kerajaan negeri dengan cara yang penuh muhibbah dan saling menghormati.

"Inilah tugas parti politik," katanya pada suatu kenyataan hari ini.


BACA BERKAITANAdun DAP cabar ketetapan k'jaan Pahang wajibkan jawi di papan tanda


Menurut Mahdzir isu papan tanda ini "adalah isu teknikal yang boleh diselesaikan menerusi rundingan diplomasi dan persefahaman" antara kerajaan negeri dan wakil-wakil persatuan rumah ibadat bukan Islam atau persatuan yang mewakili kedai-kedai menjual peralatan agama Budha/ Tao.

"DAP sebagai parti politik tidak perlu menjadi jaguh atas platform yang salah.

"Di sebalik isu penggunaan tulisan Jawi baik pada buku atau papan tanda, ia adalah permasalahan dalam konteks budaya, bukan dalam konteks hak dan kebebasan memilih," katanya.

Walaupun memahami kekeliruan atau kelemahan dari keputusan kerajaan Pahang dalam isu ini, namun kata Mahdzir persatuan, NGO dan wakil-wakil rumah ibadat perlu menggunakan saluran diplomasi dengan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri berkaitan isu ini tanpa perlu melibatkan mahkamah.

"Apatah lagi parti politik khususnya DAP," jelasnya.

Lihat Komen