malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tetak anjing, lelaki didenda RM7,000
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 12:51 PM
Dikemaskini: 5:28 AM
ADS

Akibat menetak seekor anjing betina baka Mongrel di bahagian badannya menggunakan parang, seorang lelaki didenda RM7,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Amir Abd Salim Meor Lope, 52, selaku Orang Kena Saman selepas dia mengaku bersalah dengan kejamnya mencederakan anjing berkenaan sehingga menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri, Taman Beringin di Jinjang Utara antara 4 dan 5 Januari, 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Chris A Chong yang mewakili OKS memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan telah bersetuju dengan OKS membayar denda sebanyak RM7,000.

"Persetujuan ini dibuat melalui satu borang Akuan Rundingan (plea bargain) yang telah dipersetujui semua pihak mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hasiah Musa mengesahkan akuan borang itu.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dengan mengambil kira akuan rundingan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap OKS atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda,” kata Manira

Mengikut fakta kes, seorang wanita bersama suaminya yang memberi makanan kepada anjing jalanan di kawasan itu menjumpai tujuh bangkai anak anjing dipercayai mati diracun dalam makanan selain menjumpai seekor anjing betina mempunyai kesan luka tetakan di kaki kiri, kanan dan badannya.

Berikutan itu, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, WPKL melakukan risikan dan menjumpai sebuah reban ayam milik OKS di kawasan itu dan OKS telah menceritakan kejadian di mana dia menetak beberapa anjing yang datang ke reban ayamnya menggunakan parang.

Sehubungan itu, pihak berkuasa merampas sebilah parang dan dua paket racun tikus di reban ayam berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen