malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Industri peruncitan Malaysia susut sebanyak 8.7 peratus tahun ini- RGM
ADS

Retail Group Malaysia (RGM) telah menyemak turun unjuran awalnya terhadap prestasi industri peruncitan pada tahun ini dengan menjangkakan penurunan sebanyak 8.7 peratus berbanding jangkaan 5.5 peratus pada April lepas.

RGM berkata ahli Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) yang ditemubual menjangkakan bahawa kadar pertumbuhan tahun ke tahun secara purata adalah sebanyak -28.8 peratus pada suku kedua.

"Ia lebih buruk berbanding unjuran oleh RGM pada April 2020 iaitu sebanyak -9.3 peratus," kata firma penyelidikan itu dalam laporannya pada bulan Julai yang disediakan sebagai perkhidmatan kepada ahli MRA.

RGM mengunjurkan industri itu akan merosot masing-masing sebanyak 3.5 peratus dan 1.5 peratus pada suku ketiga dan keempat.

Unjuran terbaru itu berbeza dengan pertumbuhan positif yang dijangkakan sebelumnya untuk kedua-dua suku tersebut dalam Laporan Awal MRA mengenai Industri Runcit Malaysia ketika penularan Covid-19 (April 2020).

Bagi suku pertama tahun 2020, industri peruncitan Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif tahun ke tahun sebanyak 11.4 peratus, kata RGM.

Mengenai prestasi suku kedua, RGM berkata pusat beli-belah dan pasar raya menjangkakan prestasi suram dengan pertumbuhan negatif sebanyak 40.9 peratus untuk suku tersebut.

Pengusaha pusat beli-belah telah menjangkakan akan berlaku penguncupan dalam perniagaan mereka sebanyak 62.8 peratus dan subsektor itu akan mencatatkan prestasi paling buruk antara subsektor peruncitan pada suku tersebut, katanya.

RGM berkata subsektor peruncitan yang paling tidak terjejas pada waktu mencabar ini adalah pengusaha pasar raya dan pasar raya besar. Bagaimanapun, mereka dijangka kekal di zon merah dengan penguncupan 14.8 peratus pada suku kedua, katanya.

"Peruncit di sektor aksesori fesyen dan fesyen menjangkakan perniagaan mereka akan mengalami kemerosotan kadar pertumbuhan sebanyak 39.3 peratus pada suku kedua 2020, berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Peruncit di subsektor farmasi, penjagaan diri dan di subsektor kedai lain seperti produk optik dan barangan terpakai menjangkakan perniagaan mereka untuk mencatatkan kadar pertumbuhan negatif masing-masing sebanyak 18.4 peratus dan 55.5 peratus.

RGM jualan runcit diunjur mengalami penurunan sederhana sebanyak 3.5 peratus untuk suku ketiga 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia berkata sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan sebelum Oktober, peruncit Malaysia boleh menjangkakan perniagaan mereka kembali pulih dengan jualan susut sebanyak 1.5 peratus pada suku keempat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen