malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sah - Muhyiddin ada majoriti tapi terlalu kecil
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 1:21 PM
Dikemaskini: 6:28 AM
ADS

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) hari ini telah membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tetapi kelebihannya itu adalah terlalu kecil.

Ini dapat dilihat semasa usul Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya berjaya menggugurkan speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Seramai 111 daripada 222 anggota parlimen mengundi menerima usul  Muhyiddin manakala 109 anggota parlimen menolaknya.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang itu.

Ariff dijangka digantikan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, petang nanti.

Pemerhati melihat usul ini sebagai tanda kejayaan Muhyiddin menunjukkan sokongan diterimanya.

Pada sidang sebelum ini, beliau mempunyai majoriti tipis 113 anggota parlimen.

Dengan jumlah undian seramai 111 anggota parlimen bagi usul yang dikemukakan Muhyiddin buat menggantikan Speaker, ini dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dalam Dewan Rakyat meskipun nipis.

Untuk rekod, seorang ahli parlimen PN, Maximus Johnity Ongkili (PN-Kota Marudu) tidak hadir dengan sijil cuti sakit.

Dewan Rakyat hari ini turut akan mengundi bagi usul melantik Speaker baru dan menggantikan timbalannya Nga Kor Ming selepas rehat. Keputusan juga dijangka sama.

Secara efektif, usul oleh tiga anggota parlimen kerajaan untuk menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan usul tidak percaya terhadap perdana menteri itu kini dilihat tidak relevan.

Ia membangkitkan perbincangan antara parti-parti pembangkang berikutan adakah mereka dapat membentuk kerajaan baru untuk menyingkirkan Muhyiddin.

Selain itu, Muhyiddin juga harus memastikan bahawa kehadiran bagi semua ahli parlimen PN kekal penuh ketika pengundian usul.

Malah, Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) turut berkata kepada Dewan Rakyat “(111) bukan majoriti” sejurus selepas Rashid mengumumkan keputusan undian.

Sementara itu, kedudukan kerusi Dewan Rakyat turut memperlihatkan bahawa Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak menyebelahi kerajaan PN.

Parti tersebut mempunya dua anggota parlimen- Baru Bian (Selangau) dan Masir Kujat (Sri Aman).

Lihat Komen