malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perluas tulisan Jawi pada hari biasa dan semua kaum, kata MP PAS
Diterbitkan:  Jul 11, 2020 1:29 PM
Dikemaskini: 5:30 AM
ADS

Anggota Parlimen Jerai dari PAS, Sabri Azit, hari ini menggesa agar penggunaan tulisan Jawi diperluaskan dengan tidak mengehadkannya untuk setiap Jumaat saja.

Seperti dipetik portal rasmi parti itu, harakahdaily, Sabri berkata kerajaan wajar menjadikan tulisan Jawi sesuatu yang "biasa" untuk semua kaum di negara ini.

"Bahkan, pembudayaan tulisan Jawi pada hari Jumaat hendaklah diperluaskan lagi pada hari-hari lain untuk membiasakan kepada semua kaum bahawa tulisan Jawi suatu ketika dahulu menjadi tulisan perantara di Tanah Melayu," kata laporan berkenaan.

Beliau yang juga baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menambah jika tulisan Jawi itu dihadkan hanya pada Jumaat saja, ia akan membawa tanggapan yang salah iaitu dikaitkan dengan agama.

“Dengan kata lain tulisan Jawi (akan didakwa) hanya untuk orang Islam. Hakikatnya tulisan Jawi ialah tulisan yang mampu dipelajari oleh semua bangsa," katanya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad semalam mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan berkenaan.

Zulkifli dalam kenyataannya berkata usul itu dibawa dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada semua menteri.

Tanda raikan kepelbagaian tulisan

Untuk rekod, tulisan Jawi pernah mengundang polemik panas dalam negara apabila keputusan Kementerian Pendidikan memasukkan pembelajaran mengenainya dalam buku teks sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil.

Beberapa pihak membantah keputusan berkenaan meskipun ia hanya sebanyak tiga halaman dan ia bukan diwajibkan lulus.

Antara pihak yang lantang menolak pembelajaran itu ialah Pemuda MCA.

Ketuanya Nicole Wong mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memaksakan pembelajaran tulisan Jawi dan Pemuda MCA tidak berpuas hati dengannya.

Ketuya Pemuda MCA, Nicole Wong

"Pemuda MCA bukan menentang pembelajaran Jawi tetapi ia tidak seharusnya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia secara paksa.

"Sebaliknya ia harus dianggap (diterapkan) sebagai kajian dan penghayatan seni," katanya.

Pada Julai 2019 Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Teo Nie Ching, menjelaskan penggunaan tulisan Jawi atau seni khat sudah ada dalam buku teks yang digunakan sejak 2016, iaitu sebelum PH menjadi kerajaan.

Kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional, tidak dapat dipastikan kedudukan pembelajaran tulisan Jawi di SRJK Cina dan Tamil.

Kata Sabri, pembelajaran tulisan Jawi dapat membina persefahaman lebih baik dalam kalangan kaum yang berbeza di negara ini.

“Salah satu unsur mengharmonikan masyarakat berbilang bangsa ialah dengan mempelajari tulisan Jawi, (di mana) kemampuan menguasai tulisan Jawi juga sebagai tanda meraikan kepelbagaian tulisan yang wujud di negara ini,” katanya.

Lihat Komen