malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khazanah nilai rakan kongsi berpotensi untuk MAB
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM
ADS

Dana pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd masih menilai rakan kongsi berpotensi bagi syarikat penerbangan yang sedang menghadapi masalah, Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Dalam laporan tahunan 2019 yang diterbitkan semalam, cabang pelaburan kerajaan itu berkata telah menyenarai pendek empat cadangan mengenai cadangan perkongsian.

"Khazanah juga menilai pilihan yang ada untuk menyelesaikan isu-isu utama yang dihadapi Malaysia Airlines (MAB) dan melakukan proses penilaian rakan kongsi yang berpotensi bagi syarikat penerbangan itu pada tahun 2019.

"Khazanah telah menerima sejumlah sembilan cadangan, yang mana empat telah disenarai pendekkan.

"Bagi tahun 2020, Khazanah akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan MAB untuk mengkaji semula cadangan yang diterima dan memuktamadkan keputusan tentang pilihan strategik yang sesuai untuk bergerak ke hadapan,"kata Khazanah dalam laporan yang dimuat naik di laman webnya.

MAB melaporkan kerugian bersih RM791.70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding RM812.11 juta pada tahun 2017, sementara pendapatan meningkat sedikit sebanyak 0.8 peratus kepada RM8.73 bilion daripada RM8.67 bilion, menurut The Malaysian Insight (TMI).

Industri penerbangan berdepan suasana suram berikutan penutupan sempadan di seluruh dunia bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Ini memberi impak kepada syarikat penerbangan dan pengurangan saiz operasi dilihat sebagai salah satu pilihan untuk terus relevan dalam industri.

Dilaporkan MAB telah meminta 13,000 pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela akibat Covid-19, sementara AirAsia Bhd menamatkan perkhidmatan 111 pramugari, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

Bulan lalu, Bloomberg melaporkan Khazanah sedang mempertimbangkan untuk menyuntik modal baru berjumlah sehingga RM5 bilion kepada MAB.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan kerajaan akan menyelamatkan MAB. 

Pada tahun 2015, syarikat penerbangan nasional itu memulakan rancangan  penstrukturan semula MAB selama lima tahun.

Lihat Komen