malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairuddin keluar Amanah, gesa PH tolak 'pemimpin sewel'
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 11:30 AM
Dikemaskini: 3:34 AM
ADS

Penyokong setia bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan mengumum meninggalkan Pakatan Harapan (PH) selepas mendakwa bahawa dirinya tidak akan bernaung di bawah “pemimpin sewel dan berpenyakit”.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin mengkritik Anwar Ibrahim yang menerajui PKR dan PH sebagai pemimpin yang tidak berkemampuan, dan menjadi punca perpecahan dalam PH sehingga tumbang di peringkat pusat.

“Saya ingin menyeru pada semua pemimpin-pemimpin PH yang luhur dan berprinsip untuk tinggalkan PH secara beramai-ramai serta jangan sama sekali kita sokong pemimpin ‘fasiq’ serta ‘hipokrit’ macam Anwar.

“Dia hanya ‘syok sendiri’ dan tidak akan dapat memimpin PH ke tahap yang memberangsangkan.

"PKR itu sendiri kini bermasalah dan berpecah di bawah kepimpinan Anwar," kata Khairuddin.

Sebelum ini, Khairuddin telah mendakwa bahawa Anwar tidak layak untuk memimpin negara ini dan menegas bahawa beliau akan kempen untuk menyekat kebangkitan ketua pembangkang itu.

Sementara itu, Khairuddin juga mengumumkan keputusannya untuk keluar dari Amanah berkuatkuasa serta merta.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada presiden dan kepimpinan tertinggi parti Amanah yang telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk bertanding di kerusi parlimen Jasin pada PRU14 yang lepas.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan berjumpa dengan presiden parti Amanah untuk menzahirkan keputusan bagi menyerahkan balik kerusi parlimen Jasin seterusnya meletakkan jawatan selaku penyelaras parlimen Jasin," katanya.

Khairuddin memberi amaran bahawa PH tidak akan mampu untuk memenangi pilihanraya umum lagi bagi membentuk kerajaan pusat sepertimana pada PRU14 yang lepas di bawah pimpinan Anwar, dan menyeru pemimpin-pemimpin PH supaya tidak sokong Anwar sebagai perdana menteri ke-9.

Khairuddin bekas ahli Umno, meninggalkan parti itu pada tahun 2015 dan menyertai Bersatu bagi tempoh yang singkat, bersama pemimpin dan ahli yang bersekutu dengan Mahathir.

Beliau tetap setia kepada Mahathir setelah meninggalkan Bersatu untuk memimpin gerakan Deklarasi Warga Negara, digerakkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyingkirkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Khairuddin kemudian kembali bersama Amanah sejurus sebelum PRU14 untuk bertanding di kerusi Parlimen Jasin, tetapi kalah kepada Ahmad Hamzah dari BN dengan majoriti tipis 219 undi dalam pertarungan tiga penjuru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen