malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Covid-19: Hanya dua kes baru, 20 lagi pulih
Diterbitkan:  Jun 30, 2020 5:17 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
ADS

Hanya dua kes baru positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 8,639 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pada 164 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Daripada dua kes baru yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan satu kes adalah penularan di dalam negara iaitu kes saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud, Sabah.

“Kedua-dua kes ini melibatkan warganegara Malaysia. Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Di sebalik trend penurunan kes di Malaysia, Dr Noor Hisham memberi amaran bahawa situasi wabak Covid-19 di seluruh dunia dijangkakan akan semakin melarat.

“Justeru, kita perlu lebih berwaspada serta mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan pada setiap masa.

“Kerjasama semua pihak adalah amat penting untuk kita sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Meminjam kata-kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom, katanya pandemik Covid-19 di dunia masih belum berakhir. Malah, secara global, kes-kes pandemik itu sebenarnya semakin meningkat.

Dr Tedros Adhanom

Dr Noor Hisham juga mengumumkan bahawa sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan bahawa terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,354 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Lihat Komen