BERITA

Penerbit mohon maaf isu kulit buku didakwa hina Jata Negara

Hariz Mohd

30 6月 2020, 1:45 凌晨

Dikemaskini sebulan lepas

A
+
A
-

Penerbit buku yang berdepan dengan kontroversi hari ini memohon maaf berhubung kulit buku mirip Jata Negara.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu Malaysiakini pagi ini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara.

“Satu, kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa.

“Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf.

“Pada masa depan kita akan lebih sensitif,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia itu mendapat perhatian sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Ia kemudian menyebabkan sekumpulan pemuda dari MIC, MCA, Umno dan PAS membuat laporan polis mengenai buku itu, dengan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana dikatakan menghina Jata Negara.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kementeriannya telah mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan segera ke atas perkara itu.

Chong, yang juga dikenali sebagai Pak Chong, berkata imej pada kulit buku itu berasal dari sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya di kulit buku itu diatur antara pelukis dan pengarang buku tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak pasti sama ada editor buku tersebut yang menghubungi pelukis itu, atau sebaliknya, untuk mendapatkan lukisan untuk kulit buku itu.

“Kulit buku ini satu lukisan sudah lama berapa tahun dulu. Ada pamer di sebuah pameran di Sarawak dan lukisan itu dikatakan sudah habis jual.

“Saya pun khuatir pada masa itu tapi saya tidak kata jangan. Saya cakap kamu semua buat keputusanlah,” katanya.

Chong berkata, polis telah mengunjungi pejabatnya di Petaling Jaya petang semalam untuk bertemu dengannya, tetapi dia tiada pada waktu itu.

Dia percaya bahawa polis akan datang lagi hari ini, dan bersedia memberikan kerjasama.

Malaysiakini telah berusaha untuk mendapatkan komen dari editor, Kean Wong, tetapi dia enggan memberikan komen sebagai menuruti nasihat peguamnya.

Sementara itu, menurut pereka grafik Fahmi Reza, imej yang digunakan pada kulit buku itu adalah lukisan yang pernah dipamerkan secara terbuka enam tahun lalu.

Fahmi berkata pameran itu berlangsung ketika negara ini berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

"Bagi yang tak tahu, artwork yg digunakan sebagai design kulit buku yang didakwa menghina Jata Negara sebenarnya sebuah oil painting lama.

"Pernah dipamerkan dalam sebuah art exhibition yang terbuka pada orang awam di sebuah galeri di KL, 6 tahun dulu masa zaman BN pada tahun 2014," katanya di Twitter.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.