malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir mahu terus wakili Melayu, takkan sertai DAP
Diterbitkan:  Jun 26, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM
ADS

Sebelum membentuk gabungan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) 2018 lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan DAP sentiasa bertelagah, saling menuduh sesama sendiri sebagai bersifat perkauman.

Namun sejak itu, Dr Mahathir menarik balik tuduhannya dan mempertahankan DAP daripada persepsi sebegitu, manakala DAP pula menyokong Mahathir untuk menjadi perdana menteri buat kali yang ketiga.

Bagaimanapun, dalam temu bual bersama Asian Times, Mahathir menolak kemungkinan beliau menyertai DAP sekiranya beliau gagal merampas semula Bersatu daripada perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Malah menurut laporan berkenaan, Dr Mahathir yang kini berusia 95 tahun itu bahkan ketawa ketika diajukan soalan berkenaan.

“Saya tak rasa saya akan masuk DAP. Kamu tahulah, mereka jadikan DAP kambing hitam. Mereka tuduh DAP mengawal kerajaan demi memenangi hati pengundi Melayu.

“Tapi kalau saya masuk DAP, parti yang didominasi orang Cina, saya tak rasa itu akan diterima oleh rakyat,” katanya.

Tidak kira apa yang berlaku, kata Mahathir, dia akan terus mewakili orang Melayu.

“Saya sentiasa mewakili orang Melayu, sejak dari mula dah begitu, dan saya fikir, macam mana pun, saya akan teruskan juga begitu, sama ada masuk parti lain, atau jadi (wakil) bebas atau bentuk parti lain.

“Ini adalah pilihan yang saya rasa, saya belum perlu putuskan buat masa ini,” tambahnya.

Jurang kekayaan antara kaum

Sementara itu, Mahathir turut menyentuh mengenai jurang kekayaan antara kaum di Malaysia ketika disoal mengenai pendiriannya tentang menolak pengaruh China di Malaysia.

“Kita tak ada masalah dengan orang Cina dari China, tapi kita ada masalah dengan orang Cina Malaysia. [Ketawa] Mereka sangat dinamik, mereka jadi sangat kaya di Malaysia dan mereka boleh dikatakan memiliki semua bandar di Malaysia. Ini tidak sihat.

“Kamu tahulah, meskipun kalau hanya ada satu kaum saja (di sesebuah negara), jurang antara kaya dan miskin boleh membawa kepada revolusi, keganasan dan sebagainya. Kita (turut) temui hal ini di Malaysia, jurang antara bandar dan negara, dibesarkan lagi oleh jurang antara orang Cina di bandar dan orang Melayu di kampung. Kita perlu betulkan hal itu.

“Saya rasa ramai orang Cina menerima itu, tapi, sudah pastilah, sesetengah yang tak dapat projek tertentu yang mereka mahu, mungkin tak rasa tak gembira.

“Tapi saya hendak tekankan kepada semua orang, sebagai sebuah negara berbilang bangsa, Malaysia lebih stabil, lebih aman berbanding negara-negara berbilang kaum yang lain. Hatta jika dibandingkan dengan masalah (yang dihadapi) warga kulit hitam di Amerika Syarikat,” tambahnya.

Ditanya pula tentang populariti Muhyiddin di kalangan orang Melayu, Mahathir mendakwa rakyat kini sedang melihat sikap sebenar perdana menteri itu.

“Pada mulanya dia agak popular sebab dia kata akan bentuk kerajaan Melayu Islam. Sudah tentu, orang Melayu sukalah. Kemudian, dia kata DAP akan musnahkan Melayu, jadi kita kena jatuhkan DAP.

“Ramai orang Melayu percaya apa dia kata. Tapi sekarang mereka dapat lihat dia lebih teruk daripada kerajaan (bekas perdana menteri) Najib (Razak) dari segi pentadbiran.

“Dia cenderung buat benda mengikut kehendaknya tanpa sebarang autoriti, tanpa sebarang pendirian perundangan (legal standing). Jadi, orang sekarang mula dapat Muhyiddin yang sebenarnya,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen