Seorang lagi pemimpin kanan PKR hari ini tampil menyanggah kenyataan dibuat dua parti dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai calon perdana menteri dalam usaha pembangkang mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).
Menurut Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, apa yang dinyatakan Saifuddin Nasution Ismail mengenai kronologi pencalonan untuk perdana menteri adalah sahih.
Katanya jika ada yang bertanya mengenai minit mesyuarat mana yang sahih, apa yang didedahkan Saifuddin itulah jawabannya.
Adun Semambu di Pahang itu menjelaskan mesyuarat PH pada 30 Mei lalu adalah untuk menentukan resolusi agar Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dicalonkan sebagai perdana menteri.
"Tiada resolusi kedua atau opsyen kedua. Opsyen kedua hanya dicadangkan oleh Dr Mahatir Mohamad dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun namun ia tidak pernah dibawa ke mesyuarat PH selepas itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isu calon perdana menteri menjadi penghalang kepada cubaan PH mengambil semula kerajaan pusat selepas gabungan itu diberikan mandat oleh pengundi sebagai kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) pada Mei dua tahun lalu.
Kerajaan PH jatuh selepas Azmin Ali (ketika itu menjadi timbalan presiden PKR) membawa sejumlah anggota parlimen yang menyokongnya meninggalkan parti berkenaan, manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, membawa parti terbabit keluar daripada gabungan.
Norma asas mesyuarat
Mereka kemudian bekerjasama dengan Umno-BN dan PAS untuk membentuk PN. Ia kemudian mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Bagaimanapun GPS menegaskan mereka bukan sebahagian daripada PN.
Pada masa sama PN ketika ini bukanlah sebuah entiti yang didaftarkan secara rasmi mengikut undang-undang negara ini.
Kecuali Bersatu, tiada mana-mana parti dalam PN mendapat mandat untuk menjadi kerajaan berdasarkan keputusan PRU ke-14 lalu.
PH dan kumpulan Mahathir kemudian menggerakkan usaha untuk mengambil alih kembali Putrajaya ketika Muhyiddin dilihat bertindak pantas cuba mengukuhkan sokongan melalui pelbagai pelantikan dalam kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan.
Kemelut calon perdana menteri PH Plus kini menjadi perdebatan dengan DAP dan Amanah berpendapat memilih gandingan Mahathir dan Anwar adalah langkah terbaik untuk mengambil semula Putrajaya.
Bagaimanapun PKR secara rasmi menolak cadangan itu dan tekal untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri. Namun ia dilihat bermasalah kerana sukar mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.
Pada 17 Jun lalu Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, meminta PKR menyatakan pendirian bagi memecah kebuntuan berhubung cubaan mengambil alih Putrajaya daripada PN.
Kata Loke, dengan pilihan gandingan Mahathir - Anwar, DAP menyerahkan kepada presiden PKR berkenaan untuk membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.
Kata Lee bagi orang yang biasa dengan peraturan mesyuarat, sebarang keputusan PH sepatutnya dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan sebelum ia boleh dibawa ke mesyuarat lain.
Misalnya, kata beliau, mengadakan perbincangan bagi mendapatkan kelulusan dengan PH Plus.
"Jika tidak boleh, ia perlu dibawa balik ke meja rundingan PH dan ini adalah norma asas mesyuarat.
"Jika PH mengiktiraf opsyen kedua, kenapa Loke masih perlu memohon PKR untuk memaklumkan keputusan melalui paparan media?" katanya.
Serah Anwar buat keputusan
Tambah Lee lagi, Mahathir bukan lah sebahagian daripada ahli komponen PH, justeru untuk menerima beliau sebagai calon perdana menteri gabungan terbabit perlu membuat keputusan untuk menerima seorang tokoh bebas dari luar.
"Setelah fakta-fakta yang dinyatakan ini dipaparkan, persoalannya ialah: Siapa yang telah membelakangi semangat PH?" soalnya.
Lee juga menyerakan kronologi mengenai perbincangan dan perkembangan isu calon perdana menteri PH Plus, iaitu:
30 Mei: PH mencapai resolusi bahawa Anwar menjadi calon perdana menteri. Tiada opsyen kedua.
1 Jun: Wakil PH (Mohamad Sabu, Anthony Loke dan Saifuddin Nasution Ismail) berjumpa Dr Mahathir Mohamad untuk memaklumkan resolusi tersebut. Mahathir tidak menolak (pendirian pertama).
9 Jun: Mesyuarat PH Plus memaklumkan sekali lagi bahawa Anwar merupakan calon perdana menteri yang diputuskan tetapi Mahathir dan Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan) mencadangkan agar Mahathir menjadi perdana menteri untuk enam bulan (pendirian kedua).
13 Jun: Mesyuarat kedua PH lus menegaskan pendirian bahawa Anwar ialah calon perdana menteri, Mahathir dan Mohd Shafie memilih Mahathir untuk menjawat jawatan itu selama setahun (pendirian ketiga). Amanah dan DAP menyerahkan hak untuk membuat keputusan kepada Anwar selepas kesepakatan gagal dicapai.
17 Jun: DAP mendedahkan semua melalui media, tetapi Loke menyatakan PH akan move forward selepas PKR atau Anwar membuat keputusan.
19 Jun: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR membuat keputusan tidak mahu Mahathir menjadi perdana menteri dan menghargai sokongan komponen PH serta terus menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri. Namun, pada petang hari yang sama, Loke dan Khalid Samad (Pengarah Komunikasi Amanah) mengeluarkan kenyataan media meminta PKR menyokong opsyen kedua.