malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Kenapa KPM tak libatkan kami? Kami bukan anti-Islam’
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 5:35 PM
Dikemaskini: 9:44 AM
ADS

Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) mohon dilibatkan sama dalam penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi murid tahun lima, khususnya berkaitan isu tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia.

Setiausahanya Arun Doraisamy berkata mereka menghantar surat memohon pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 13 Mac.

“Kita telah menghantar surat ini sebelum DSKP dikeluarkan, DSKP tahun lima dikeluarkan.

“Persoalan pertama yang saya ingin ajukan kepada KPM (Kementerian Pendidikan) kenapa kami tidak dilibat urus dalam penggubalan DSKP?

“Kenapa tidak? Kami bukan anti-Islam. Mana boleh anti-Islam. Kami bukan anti-Jawi. Kami bukan anti-khat. Yang itu (khat) adalah warisan kita.

“Tetapi kami memang tidak setuju tatacara pengenalannya melalui mata pelajaran wajib lulus. Itu saja,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sekat sebelum ini muncul di tengah-tengah kontroversi pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Mereka menuntut pembelajaran Jawi hanya dijadikan pilihan, bukan wajib lulus.

Kementerian Pendidikan sewaktu diterajui menteri pendidikan kerajaan PH Maszlee Malik sebelum ini memperkenalkan tiga halaman tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia pada murid tahun 5.

Selain sekat, ia ditentang oleh kumpulan pendidikan dan pentadbir sekolah Cina Dong Zong dan Jiao Zong.

Kontroversi itu dipercayai menjadi antara punca Maszlee meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan pada 2 Januari.

Sementara itu, Arun menjelaskan Sekat juga mahu membincangkan isu hala tuju pendidikan Bahasa Melayu hingga 2025.

“Isu ketiga peranan dan ciri-ciri Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. 

"Yang ini adalah tiga isu yang kami ingin bangkitkan jika diberi kesempatan untuk berjumpa dengan YB (Mohd Radzi),” katanya lagi.

Lihat Komen