malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kaca mata dan teropong PAS bukan saja rosak, malah dibutakan'
ADS

PAS kini 'dibutakan' dengan agenda politik sehingga menjadikan agama sebagai tunggangan, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Beliau berkata, kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa parti itu 'mempunyai kaca mata dan teropong yang putih bersih' hanya untuk menghalalkan matlamat politik.

"Kaca mata dan teropong PAS sebenarnya bukan saja rosak tetapi, dibutakan dengan agenda politik demi kekuasaan.

"Daripada dulu lagi beliau akan gunakan pelbagai dalil untuk menghalalkan matlamat. Semasa mengkafirkan Umno ada dalilnya, ketika berkawan dengan DAP ada dalil juga. 

"Kemudian sekarang terus tunggang agama untuk halalkan matlamat politik dan kekuasaan melalui kerjasama dengan Umno, MCA dan MIC," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa PAS mempunyai kaca mata dan "kaca teropong" yang putih dan bersih sehingga dapat melihat semua warna sebenar tanpa tersilap. 

Menurutnya, perubahan pendekatan yang berlaku kepada PAS tidak disebabkan kerana perubahan kepimpinan, tetapi perubahan situasi, realiti dan kemampuan membaca sepak terajang politik.

Tulisan Abdul Hadi itu dipercayai merujuk kepada perubahan politik PAS selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

PAS menjalinkan kerjasama dengan Umno selepas PRU14 lalu apabila BN tewas buat pertama kalinya selepas lebih 60 tahun menguasai politik negara.

Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional sebagai kerjasama politik baru bagi menentang Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu ditunjangi Bersatu, DAP, PKR dan Amanah.

Sementara itu Faiz berkata, politik Islam yang dibawa PAS kini sudah tiada nilai sekali gus merosakan nilai demokrasi.

"Kita boleh lihat bagaimana sikap PAS tidak pernah konsisten. Malah apabila berada dalam kerajaan mereka kini membisu misalnya apabila presiden MCA kata kerajaan PN ini bukan kerajaan Melayu-Islam, selain agenda pemerkasaan RUU355 juga sudah tidak kedengaran," katanya.

Sementara itu Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat, sejak tiga bulan lalu PN memerintah negara pelbagai perkara aneh dan luar biasa berlaku dalam kes-kes mahkamah yang menjadi isu utama kejatuhan BN pada PRU14.

Merujuk kenyataan Abdul Hadi bahawa "PAS tidak menipu dan tidak boleh ditipu, kerana menipu itu haram dan ditipu itu bodoh", beliau berkata tindakan kerajaan PN menipu rakyat dengan "antara dua darjat" membawa anggapan rakyat boleh diperbodohkan dengan kuasa yang dimiliki.

"Sepatutnya alim ulama PAS menasihati dan menegur kerajaan PN kerana tidak menghormati rakyat yang mengalahkan kerajaan dahulu susulan skandal 1MDB, sebaliknya kita lihat anak tiri Najib Razak iaitu Rizal Aziz dibebaskan dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman yang berdepan 46 kes mahkamah juga dibebaskan.

"Dengan kenyataan PAS tidak menipu, rakyat juga pernah dengar Nik Abduh Nik Aziz (MP Bachok) menyatakan adakalanya dibolehkan bercakap bohong dalam isu penerimaan wang dari Umno dahulu.

"Akhirnya rakyat juga ingin tahu kalau PAS di pihak yang benar mengapa kes saman Sarawak Report ditarik balik dan PAS sanggup membayar Clare Browne dan peguam British berbelas juta ringgit? Siapa yang bercakap benar dan siapa yang menipu kes saman Sarawak Report?" soalnya yang juga AJK Amanah.

Lihat Komen