Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan bernilai lebih RM53 juta dari sembilan syarikat dan organisasi untuk Tabung Covid-19.
Kesemua sumbangan itu disampaikan oleh wakil syarikat penyumbang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Mohd Yazid di ibu pejabat Nadma di Putrajaya hari ini.
Nadma dalam kenyataan memberitahu barangan yang diterima hari ini akan digunakan oleh petugas barisan hadapan Covid-19.
"Sumbangan yang diterima hari ini akan membantu negara menguruskan fasa pemulihan wabak Covid-19," menurut kenyataan itu.
Sembilan syarikat yang memberikan sumbangan itu ialah Ali Baba Foundation dan Jack Ma Foundation; Crecom Burj Group Sdn Bhd; Wipro Unza (M) Sdn Bhd; Overseas Chinese Muslim Association of Malaysia; Pestech International Berhad; Vistana Tropika Sdn Bhd; CLA Global Holdings Sdn Bhd; Yayasan MRCB dan Acasia Communication Sdn Bhd.
Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Mac bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan Covid-19.
- Bernama