malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PKR Johor: Exco letak syarat sokong Azmin pada calon ketua kampung baru
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 8:30 PM
Dikemaskini: 12:31 PM
ADS

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa ada beberapa calon ketua masyarakat kampung baru di Johor diminta menandatangani surat ikrar bagi menyokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Menurut Syed Ibrahim surat tersebut juga menyatakan janji calon-calon terbabit untuk menjadi ahli berdaftar kepada sebuah pertubuhan politik yang bakal ditubuhkan Azmin.

Katanya Adun Tangkak, Ee Chin Li, semalam mendedahkan surat berkenaan perlu melalui Exco Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full.

Untuk rekod Chong merupakan satu-satunya Adun PKR Johor yang keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan dianggap penyokong Azmin.

"Menurut maklumat yang diberi kepada Ee, pembantu Chong - yang melakukan rundingan mengenai pelantikan ketua masyarakat - meminta calon-calon yang ada membaca syarat-syarat perlantikan dan mengisi borang maklumat peribadi, seterusnya menandatangani sepucuk surat untuk menzahirkan sokongan kepada Azmin.

"Sekiranya dakwaan ini benar maka banyak persoalan yang timbul dan perlu dijawab malah disiasat," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Syed Ibrahim menambah timbul persoalan mengapa calon terbabit dikenakan syarat berjanji untuk menjadi ahli berdaftar kepada sebuah wadah politik yang tidak diketahui.

Tak minta keluar parti

"Apakah wadah politik yang dimaksudkan? Adakah ia merupakan sebuah parti baru?

“Mengapakah calon daripada kalangan NGO diminta menyertai parti politik bahkan menandatangani surat sokongan kepada ahli politik sedangkan mereka sepatutnya berkhidmat mewakili NGO?” katanya.

Kata ahli parlimen Ledang itu lagi, jika benar wujud usaha membeli sokongan politik melalui pelantikan ketua masyarakat, ia adalah amalan yang tidak bermaruah, malah mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"PKR Johor juga menyarankan pihak yang ditawarkan jawatan begitu waja menolak syarat yang dikenakan, sebaliknya membuat laporan kepada SPRM," katanya.

Sementara itu Chong berkata pegawainya tidak pernah meminta sesiapa keluar dari parti untuk menjadi ketua masyarakat kampung baru di Johor.

Mengulas dakwaan Syed Ibrahim, Chong berkata, tindakan tersebut bagi memastikan pendirian calon ketua masyarakat sejajar dengan kerajaan sedia ada.

“Jadi (pemilihan) kali ini saya atau pegawai saya tidak meminta sesiapa untuk keluar daripada mana-mana parti.

“Kami hanya mahu mereka (calon ketua masyarakat) tandatangan. Jadi mereka boleh tonjolkan pendirian mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Adun Pemanis itu juga menjelaskan tiada permintaan atau syarat yang mengarahkan seseorang calon supaya keluar dari parti jika mahu dilantik kerajaan negeri.

“Kita perlu pastikan bahawa pendirian politik mereka ke arah kerajaan supaya apabila kita lakukan kerja kita, ia lebih mudah. Jika tidak kami tak dapat lakukan kerja kami,” katanya.

Lihat Komen