malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tindakan soal siasat boleh ditafsir sebagai ugutan - Sivarasa
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM
ADS

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa berkata bahawa tindakan soal siasat oleh pihak polis terhadap kenyataan yang dibuat olehnya tahun lepas berhubung isu tangkapan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan.

"Pendirian saya berkenaan tangkapan-tangkapan tersebut tidak berubah. Saya masih berpendapat tindakkan itu adalah tidak perlu, satu penyalahgunaan kuasa dan bermotif politik dengan mensasarkan pemimpin DAP.

"Seluruh dunia tahu bahawa LTTE sudah dihancurkan di Sri Lanka pada tahun 2009 dan tidak lagi aktif.

"Tindakan soal siasat begini oleh pihak berkuasa boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan terhadap pengkritik kerajaan atau agensi-agensi atau kumpulan-kumpulan di dalamnya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, petang tadi pemimpin PKR itu dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya di sebuah laman portal pada 27 November 2019, berkenaan tangkapan 12 orang termasuk pimpinan DAP.

Pada November tahun lalu, Sivarasa yang ketika itu menjadi timbalan menteri pembangunan luar bandar, mencadangkan bahawa "daulah terpendam" memainkan peranan dalam keputusan untuk mendakwa 12 individu atas kaitan dengan LTTE, kumpulan pemisah Sri Lanka yang tidak lagi aktif dan dikelaskan sebagai pengganas oleh kerajaan.

"Bila menjawab soalan daripada wartawan Malaysia Insight pada masa itu, saya memberi pandangan bahawa tangkapan dan dakwaan 12 orang ini adalah tindakan oleh “deep state” (daulah terpendam) dalam kerajaan yang bertujuan untuk mencemarkan imej Pakatan Harapan dan mengurangkan sokongan kita.

"Inilah tajuk siasatan hari ini yang berlaku hampir lapan bulan selepas ulasan saya," katanya.

"Saya anggap ulasan saya sebagai ulasan yang munasabah dan wajar dalam kapasiti saya sebagai seorang ahli parlimen dan timbalan menteri (pada masa itu) dalam gabungan PH," katanya.

Tambahnya, tindakan menyoal siasat pengkritik kerajaan adalah tidak baik untuk negara dan hak bersuara perlu didokong oleh kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen