malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KKM jangka tiada lagi peningkatan mendadak kes Covid-19
ADS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tiada lagi peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku Khamis lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, KKM hampir selesai melakukan saringan Covid-19 terhadap warga asing yang ditahan dan juga kakitangan yang bertugas di empat depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya.

"Kita hampir selesai saringan kali kedua untuk mereka di depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil dan kes positif telah pun kita asingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

"Kita tidak jangkakan ada peningkatan mendadak seperti dua tiga hari lepas seperti 277 kes itu," katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata, secara keseluruhan seramai 4,908 individu telah disaring dan hanya dua individu dari depoh tahanan Imigresen Bukit Jalil sedang menunggu keputusan ujian mereka hari ini.

Secara keseluruhan, keputusan saringan mendapati 735 kes positif melibatkan warga asing yang ditahan.

"Kita telah nasihatkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghantar balik kes-kes yang telah dikesan negatif ke negara masing-masing," kata Noor Hisham.

Beliau juga menegaskan KKM akan terus memantau kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, terutama di kalangan warga asing sebagai 'strategi keluar' untuk menamatkan penularan wabak berkenaan.

Kluster depoh tahanan pertama kali dikesan ketika KKM melakukan ujian selepas beberapa warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia, didapati positif virus tersebut.

Berikutan itu, Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penghantaran pulang warga asing yang ditahan dan diuji negatif wabak berkenaan, melalui kerjasama dengan beberapa kedutaan termasuk Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Kemboja.

Lihat Komen