malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kurangkan yuran universiti - Syed Saddiq
Diterbitkan:  May 28, 2020 12:29 PM
Dikemaskini: 4:32 AM
ADS

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa supaya yuran universiti dikurangkan selepas kebanyakan operasi dihentikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya beliau menerima aduan daripada mahasiswa bahawa yuran pengajian masih perlu dibayar seperti biasa.

"Walaupun rata-rata telah pulang ke rumah dan pengajian tidak lagi berjalan, yuran masih lagi sama dikenakan.

"Bagi saya, ini harus segera diubah,” katanya.

Katanya kalau ada pun kelas yang masih berjalan, ia hanya dibuat di atas talian.

"Ada juga pelajar tiada akses Internet, jadi tidak dapat ikut belajar sama. Infrastruktur universiti juga tidak lagi dipakai," katanya dalam satu kenyataan melalui Faceboook, hari ini.

Terdahulu, ahli Parlimen Muar berkata banyak pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) semakin susah ketika PKP susulan ibu bapa hilang kerja dan ekonomi tidak menentu.

Beliau menegaskan kerajaan tidak sepatutnya menambah beban mereka dengan yuran universiti.

"Kita perlu fikirkan kebajikan mereka. Itu merupakan tanggungjawab yang tak boleh ditolak ketepi.

"Jangan sampai ada mahasiswa yang terpaksa berhenti belajar semata-mata kerana beban bayaran yuran sewaktu PKP," katanya.

Pada 26 Mei, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengurangkan yuran pengajian di universiti berikutan ketidaktentuan ekonomi negara sepanjang penularan wabak Covid-19.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad memaklumkan bahawa pengajian di universiti akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020.

Lihat Komen