malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Chini: Tempoh penamaan calon dicadang 5 hari - Bersih
Diterbitkan:  May 23, 2020 9:28 PM
Dikemaskini: 1:28 PM
ADS

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah membuat beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang dijadualkan pada 4 Julai ini.

"Kami percaya bahawa sistem demokrasi harus berjalan tetapi pada masa yang sama langkah-langkah pencegahan untuk membendung wabak Covid-19 ini mesti diambil oleh semua pihak, terutama SPR," kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Badan itu mengesyorkan agar SPR memperpanjangkan tempoh pencalonan selama lima hari dan calon mesti dibenarkan menghantar borang pencalonan mereka secara dalam talian atau serahan tangan dalam tempoh ini untuk mengelakkan perhimpunan awam.

Sekiranya, calon tersebut memilih menyerahkan borang penamaan calon secara tangan di pusat penamaan calon, perlu ada had empat orang bagi setiap calon. SPR kemudian boleh mengumumkan senarai calon yang diterima dengan mengeluarkan kenyataan media, kata mereka.

Pindaan dapat dilakukan oleh calon jika ada kesalahan dalam mengisi borang pencalonan dengan menyerahkan kembali borang tersebut dalam jangka waktu penamaan calon lima hari.

Borang pencalonan yang lengkap mesti diterbitkan secara rasmi, dengan maklumat peribadi tersembunyi supaya calon lain dapat membantah sekiranya timbul masalah, manakala tempoh bantahan dapat ditetapkan selama dua hari setelah penutupan penamaan calon dan bantahan bertulis dapat dikirimkan kepada SPR dalam tempoh ini, kata Bersih.

Sepanjang tempoh kempen, Bersih menyarankan kerajaan memberi masa yang saksama kepada semua calon termasuk pembangkang untuk siaran di media arus perdana seperti RTM dan Bernama. Ini termasuk debat secara langsung antara calon-calon.

"Ini harus dilakukan walaupun tanpa ancaman Covid-19, namun langkah ini harus diambil sekarang kerana kempen konvensional seperti ceramah umum harus dihentikan," kata mereka.

Penting bagi SPR untuk memastikan semua calon boleh berkempen di medan persaingan kerana ceramah umum mungkin tidak boleh lagi selepas ini kerana wabak Covid-19, jelas Bersih lagi.

Selain daripada larangan ceramah umum atau berkumpulan, Bersih berkata proses meraih undi harus dilakukan dengan peraturan yang ketat seperti mengikuti peraturan menjauhkan sosial, memakai topeng muka dan tidak lebih dari empat orang dalam satu kumpulan.

"Ini harus dilakukan walaupun tanpa ancaman Covid-19 yang kita hadapi, namun langkah ini harus diambil sekarang kerana kempen konvensional seperti perbincangan awam harus dihentikan," kata mereka.

Elak sesak, buka banyak lagi pusat mengundi

Sementara itu, pada hari pengundian, Bersih berkata pihaknya menyambut baik cadangan SPR mengikut jadual pengundian kepada pengundi untuk berada di pusat pengundian.

Ini bertujuan mengelakkan kesesakan jumlah pengundi pada satu-satu masa. Maklumat ini akan dimasukkan ke dalam kad pengundi yang akan dihantar oleh SPR kepada semua pengundi sebelum hari pengundian.

Untuk mengelakkan kesesakan pengundi di pusat pengundian, Bersih mencadangkan SPR membuka lebih banyak pusat pengundian.

"SPR dapat mencontohi bagaimana Indonesia membuka pusat pengundian mereka dan pusat-pusat itu tidak semestinya di sekolah. Pusat pengundian boleh dibuka di kawasan perumahan atau kampung,” kata NGO itu.

Khemah juga dapat didirikan untuk menambah tempat mengundi, kata Bersih menjelaskan waktu pengundian juga dapat dipanjangkan, dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, bukannya jam 8 pagi hingga 5 petang seperti biasa.

Pengundi yang merupakan pesakit Covid-19 atau mereka yang masih dalam kuarantin boleh didaftarkan sebagai pengundi pos, cadang NGO itu lagi.

Sementara itu, pengundi dari PRK Chini yang tinggal di negeri lain dan ingin pulang untuk mengundi, kata Bersih perlu dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk menunaikan hak mereka sebagai pengundi atau mereka seharusnya dapat mendaftar sebagai pengundi pos.

Bersih berkata SPR perlu menyediakan stesen pemeriksaan di setiap pusat pengundian untuk membuat ujian saringan kepada pengundi sebelum mereka dapat meneruskan pengundian.

Menurut Bersih, pengundi yang dikesan suhu badannya melebihi 37.5 darjah Celsius perlu diarahkan ke aliran khas untuk mengundi.

SPR juga, kata Bersih perlu menyediakan topeng muka dan sarung tangan sekali pakai kepada pengundi sebelum mereka dapat memasuki aliran mengundi untuk mengundi; sarung tangan mesti dibuang semasa keluar; cecair pembasmi tangan juga mesti disiapkan di semua pusat dan kawasan pengundian.

Pusat pengundian juga, kata NGO itu perlu dinyah kuman beberapa hari sebelum hari pengundian, seperti yang dilakukan di Korea Selatan ketika pilihan raya parlimen mereka baru-baru ini.

"Walaupun kita masih menghadapi pandemik Covid-19, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghentikan proses demokrasi di negara kita.

"Negara-negara seperti Korea Selatan telah membuktikan bahawa proses pemilihan dapat dijalankan dengan berjaya.

"Yang penting adalah kerjasama antara semua pihak. Kita juga memiliki pasukan petugas kesihatan yang sangat baik dan bertaraf dunia yang bersedia untuk membantu dan memberikan garis panduan mengenai langkah-langkah terbaik untuk menjalankan pilihan raya,” kata Bersih.

PRK kerusi DUN Chini diadakan setelah kematian penyandangnya Abu Bakar Harun pada 7 Mei.

Hari pengundian adalah pada 4 Julai, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen