malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MOU PN tak menjurus daftar gabungan macam BN, PH - Nur Jazlan
Diterbitkan:  May 19, 2020 9:58 AM
Dikemaskini: 3:18 AM
ADS

Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membentuk Perikatan Nasional dimeterai hanya untuk mencerminkan sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara, kata timbalan pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Nur Jazlan sebagai berkata, bahawa MoU tersebut dipersetujui untuk memudahkan urusan pentadbiran Parlimen yang bersidang semalam.

“Ia tidak mengikat. MOU itu sekadar MOU walaupun kenyataan (menyebut) bersetuju tubuh PN.

“Ia tidak akan menjurus kepada pendaftaran parti PN macam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), hanya nak tunjuk dan memudahkan perkara pentadbiran dalam Parlimen.

“Tidak ada apa-apa usaha menjadikan PN sebagai parti,” katanya kepada TMI.

Semalam, Nur Jazlan berkata Muhyiddin mempunyai sokongan yang mencukupi di parlimen.

Penyusunan kerusi di Dewan Rakyat semalam memaparkan Muhyiddin mempunyai sokongan 113 MP.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh BN, Bersatu, PAS, GPS dan dua lagi parti dari Sabah.

Awal bulan ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan supaya parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi, bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.

Memorandum itu menyatakan PN akan memastikan pentadbiran yang baik di peringkat persekutuan dan negeri.

Dikatakan juga bahawa pihak PN akan meningkatkan semangat kerjasama antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mencapai matlamat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen