malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Insan terpilih' di beberapa negeri mula solat Jumaat hari ini
ADS

Selepas lebih dua bulan tiada solat Jumaat dan solat berjemaah akibat penularan wabak Covid-19, umat Islam hari ini dapat kembali menunaikan kewajipan di masjid dan surau.

Bagaimanapun, buat masa ini, hanya 'insan terpilih' yang dibenarkan mengimarahkan masjid dan surau di kawasan masing-masing.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyebut masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat mulai hari ini, dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Perlis sebelum ini juga membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula hari ini yang hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid sementara Selangor dan Perak membenarkan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib.

Kerajaan negeri Melaka pula mengambil keputusan membenarkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 29 Mei dengan 40 jemaah dibenarkan.

Sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 4 Mei, Malaysia mencatatkan kes baharu Covid-19 di paras dua digit dengan kes terendah direkodkan pada Selasa lepas iaitu 16 kes.

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini ialah 6,819 kes dengan 112 kematian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen