Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menasihatkan sidang Dewan Undangan Negeri Johor hari ini supaya tidak menyebarkan 'virus perpecahan' dengan berpolitik.
Nasihat baginda di tengah-tengah spekulasi kemungkinan tercetus perbalahan antara parti pemerintah negeri yang baru, Perikatan Nasional dengan Pakatan Harapan.
"Sekarang bukanlah masanya untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan sebegini akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan," titah Sultan Ibrahim pagi ini.
Sebelum ini, timbul dedas-desus PN akan bergerak untuk membuang speaker DUN, Suhaizan Kaiat, sementara PH pula dikatakan akan melancarkan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.
Sultan Ibrahim selanjutnya bertitah, virus perpecahan itu sudah pun tersebar di kalangan pemimpin politik.
"Apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan negara.
"Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri.
"Virus ini mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas, dengan dibantu oleh ejen media dan 'cyber troopers' (laskar siber) yang menjadi batu api membangkitkan isu sensai, untuk menambah api kebencian di kalangan pemimpin politik dengan rakyat," titah baginda lagi.
Baginda turut menyatakan harapan semoga 'virus' itu dapat dibendung agar keharmonian dapat ditegakkan.
Titah Sultan Ibrahim kelihatan menunjukkan DUN Johor menolak trend perbalahan politik sebagaimana di Melaka dan Perak awal minggu ini.
Kedua-dua PN dan PH berka akan mematuhi titah Sultan Johor.
Kestabilan politik Johor diancam perselisihan antara rakan sekutu dalam PN, Bersatu dan Umno mengenai isu pelantikan politik, dengan Bersatu menuduh Umno mengenepikan mereka.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, telah campur tangan minggu lalu dan mendesak pihak Bersatu dan Umno untuk menyelesaikan perselisihan mereka, tetapi tampaknya ia masih berlanjutan.
Bersatu juga berpecah dua, antara kem berpihak kepada Muhyiddin, dan pihak yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan PH.
Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan mendakwa gabungan itu memiliki jumlah Adun mencukupi untuk menyingkirkan Hasni, tetapi berkata pihaknya akan menunggu "masa yang lebih sesuai."
Sementara itu, Sultan Ibrahim ketika bertitah juga mengambil kesempatan menzahirkan rasa terima kasih baginda kepada petugas barisan depan yang terlibat dalam memerangi Covid-19.
Baginda juga menasihatkan orang ramai menjaga jarak sosial, bertitah mencegah itu lebih bait daripada rawatan.