malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee persoal lantikan Mahdzir sebagai pengerusi TNB
Diterbitkan:  May 13, 2020 1:34 PM
Dikemaskini: 10:13 AM
ADS

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mempersoal pelantikan Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedangkan beliau dikaitkan dengan projek tenaga solar yang kini dibicarakan di mahkamah.

Meskipun tidak memetik nama Mahdzir, namun kenyataannya jelas ditujukan kepada pemimpin Umno itu yang juga bekas menteri pelajaran.

"Tidak usah pergi jauh, di dalam pendidikan sendiri lihatlah kes projek solar sekolah luar bandar Sarawak yang sudah mula dibicarakan.

"Perhatikanlah bagaimana pertelingkahan sesama sendiri berlaku oleh watak-watak yang mahu menyelamatkan diri dari didakwa.

"Sayang sekali perbicaraan kes itu tidak dapat diselesaikan sebelum PH jatuh. Hari ini, watak yang terlibat secara langsung dengan projek tenaga solar tersebut mendapat jawatan sebagai pengerusi GLC (yang juga berkaitan dengan “tenaga”)," katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Maszlee Malik 

Maszlee dalam tulisannya "Apakah masih ada masa hadapan buat parti keramat ini?" mengulas mengenai kemelut dalaman Bersatu.

Pada 8 Mei lalu, TNB mengesahkan pelantikan Mahdzir yang juga anggota Parlimen Padang Terap sebagai pengerusi TNB.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TNB, memaklumkan bahawa pelantikan Mahdzir bagi menerajui jawatan itu berkuat kuasa 12 Mei.

Mahdzir menggantikan Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sebagai pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan melalui kenyataan itu, berkata lembaga pengarah, pengurusan serta seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan pelantikan Mahdzir sebagai pengerusi baru.


Baca Mahdzir jawab Maszlee: Saya hanya saksi, bukan OKT


Untuk rekod Mahdzir menjadi saksi kepada perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor.

Ia berhubung dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang kini dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Maszlee mempersoalkan hujah segelintir agamawan mahukan kerajaan melantikan menteri Kabinet yang bersih.

Namun dalam masa sama katanya, kerajaan telah melantik individu yang terpalit dengan isu sebegitu bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sekiranya ada agamawan pernah berkata, lantiklah menteri-menteri kabinet yang bersih agar menjadi hujah yang kuat kepada kerajaan yang tertubuh.

"Sekarang bagaimana pula dengan pelantikan watak-watak begini dalam GLC? Adakah ada hujah agama lain yang perlu disandang pula untuk menjustifikasikan tindakan ini? Jika ada, saya teringin membacanya," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen