malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ratusan warga asing ditahan dalam serbuan di Selayang
Diterbitkan:  May 11, 2020 12:50 PM
Dikemaskini: 6:56 AM
ADS

Pihak berkuasa hari ini mengadakan serbuan terhadap warga asing tanpa dokumen di Selayang.

Operasi itu dibuat di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sekitar pasar borong Kuala Lumpur, dan dilakukan di saat perintah itu dijangka tamat dua hari lagi, iaitu pada 13 Mei.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim mengesahkan operasi itu dilakukan pada awal pagi ini dan diketuai Jabatan Imigresen.

"Ini adalah operasi Jabatan Imigresen. Polis dan beberapa agensi lain membantu dari segi keselamatan," katanya kepada pemberita menerusi Whatsapp.

Agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kesihatan dan beberapa lagi agensi berkaitan.

Menurut China Press, operasi itu yang bermula pada pukul enam pagi tadi menyaksikan ratusan warga asing tanpa dokumen ditahan.

Sebuah helikopter turut digunakan untuk operasi itu, kata laporan itu lagi.

Sebelum ini pihak berkuasa telah mengadakan serbuan terhadap warga asing tanpa dokumen di sekitar Masjid India, dua hari sebelum PKPD tamat di kawasan itu.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri yaakob, yang juga menteri kanan yang bertanggungjawab dalam soal perintah kawalan pergerakan, mempertahankan tindakan itu.

"Sebab itu saya kata bila PKPD tamat, tiada tempat untuk mereka pergi. Sebab itu (juga) kita tempatkan mereka di depot tahanan imigresen," katanya.

PKPD dikenakan terhadap kawasan yang menunjukkan peningkatan kes Covid-19.

Setakat ini, beberapa kawasan di Selayang masih dikenakan perintah itu sehingga 12 Mei.

Pusat Bandar Utara:

  • Kawasan C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  • Kawasan D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  • Kawasan E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  • Kawasan E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  • Kawasan E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
  • Kawasan F: Taman Batu View and Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Selayang Baru:

  • Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 and Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor
  • Zon D: Jalan 3, 5, 7 and 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor
  • Zon E: Jalan 2, 4, 6 and 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor
  • Zon F: Block A, B and C, Selayang Makmur, Gombak, Selango

Telefon wartawan dirampas

Sementara itu, pihak polis menghalang sejumlah wartawan yang hadir ke lokasi daripada membuat liputan.

Tinjauan Malaysiakini juga mendapati ada wartawan yang dihalau daripada mengambil video dan gambar dari luar kawasan tersebut.

Polis turut merampas telefon dan kunci motosikal seorang wartawan yang cuba merakam serbuan tersebut dari luar.

Ketika dihubungi, wartawan Makkal Osai LK Raj berkata dia dihalang dua anggota polis ketika membuat siaran langsung di Facebook.

"Saya di sana lebih kurang pukul 10 pagi. Selepas diberitahu media tidak dibenarkan masuk, saya buat liputan daripada luar kawasan PKPD. Tiba-tiba dua pegawai polis datang dan terus rampas kunci motosikal dan minta saya serahkan telefon.

"Saya cuba jelaskan bahawa saya seorang wartawan dan hanya jalankan tugas dari luar, bukan langgar PKPD.

"Tapi mereka kata ada 'arahan dari atas' untuk larang media buat liputan atau ambil gambar," katanya lagi, dan menjelaskan pegawai polis kemudian menyerahkan semula kunci motor dan telefon serta memintanya beredar.

Katanya lagi, dia juga diberitahu boleh ditahan jika mengingkari arahan tersebut.

Mazlan kemudian memaklumkan wartawan tidak dibenarkan masuk ke kawasan PKPD memandangkan keadaan di dalam yang "bahaya".

"Semua wartawan harap faham. Ini kawasan PKPD, amat bahaya untuk dibenarkan masuk," katanya menerusi Whatsapp kepada media.

Sejumlah NGO hak asasi mengkritik langkah kerajaan, dengan memberi amaran ia mampu menimbulkan ketakutan terhadap warga asing tanpa dokumen untuk tampil ke depan menjalani ujian Covid-19.

Semalam, kawasan sekitar Petaling Jaya Old Town turut dikenakan PKPD.

Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen