malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aziz Bari ketua pembangkang baru Perak
Diterbitkan:  May 9, 2020 5:40 AM
Dikemaskini: 5:40 AM
ADS

Adun Tebing Tinggi Aziz Bari dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri Perak yang baru.

Keputusan pelantikan naib pengerusi DAP Perak itu dimaklumkan melalui Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini.

“Majlis pimpinan Pakatan Harapan Perak telah memutuskan bahawa ADUN Tebing Tinggi, YB Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak yang baru,” katanya.

Aziz merupakan seorang pakar undang-undang dalam bidang Perlembagaan dan bekas penysarah fakulti undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Majlis pimpinan Pakatan Harapan percaya Prof Aziz Bari akan memainkan peranan utama sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak dalam sistem demokrasi berparlimen negara kita,” katanya.

Untuk rekod, Perak yang sebelum ini ditadbir oleh PH, tumbang dan seterusnya ke tangan Perikatan Nasional apabila Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu, pada 9 Mac lalu, mengisytiharkan sokongan kepada PN.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Sivakumar berkata Majlis Pimpinan PH Perak kesal dengan PN yang menurutnya "sibuk berpolitik" di saat negara sedang bergelut dengan krisis wabak Covid-19.

Pada masa sama, beliau juga kecewa dengan pengumuman Ahmad Faizal mengenai sidang DUN kali ini akan hanya berlangsung selama sehari dan tiada sesi soal jawab dibenarkan.

“Ini bermakna hak semua Adun untuk bertanya soal kepentingan rakyat dan perkara kepentingan awam telah dinafikan.

“Bagaimanapun pada masa yang sama, kerajaan PN telah mengemukakan usul untuk melucutkan jawatan Yang Di Pertua Dewan Undangan negeri iaitu Ngeh Koo Ham serta Timbalan Yang Di Pertua iaitu Adun Behrang, Aminuddin.

“Terbukti sikap kerajaan PN adalah tidak konsisten, tidak munasabah dan mencerminkan pentadbiran yang berat sebelah,” katanya.

Beliau berharap supaya PN menarik semula usul tersebut dan menangguhkan pemilihan calon baru pada persidangan akan datang.

Lihat Komen