malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ismail Sabri nafi ada 3 kawasan baru PKPD
Diterbitkan:  May 5, 2020 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM
ADS

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakon, hari ini menafikan ada tiga kawasan baru - masing-masing dua di Selayang dan satu di Chow Kit - diletakkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Katanya, tidak ada PKPD selagi ia tidak diumumkan kerajaan.

"Belum. Selagi saya tidak umumkan maknanya tidak ada PKPD. Tapi sesetengah tempat itu kita ketatkan kawalan secara administratif," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta Jalan Raja Bot yang menempatkan pasar Chow Kit dilihat dipasang kawat berduri serta kelengkapan lain.

Perkembangan itu menyebabkan sesetengah pihak mendakwa kawasan terbabit diletakkan di bawah PKPD.

Namun menurut Ismail Sabri, mungkin ada kawalan ketat dan kawat berduri diletakkan di kawasan terbabit namun tiada pengisytiharan mengenai PKPD dibuat lagi.

"Kerajaan akan buat kawalan secara lebih ketat dari segi (pergerakan) keluar masuk, dan kita buat ujian swab (sapu) pada semua penduduk di kawasan itu," katanya.

Terdahulu Ismail Sabri diminta mengesahkan laporan media lewat malam tadi bahawa kawasan terbabit berada dalam PKPD selepas kawat berduri dipasang pihak berkuasa.

Sementara itu sumber Pusat Pengurusan Krisis Kuala Lumpur sebelum ini memberitahu Malaysiakini, tidak seperti PKPD, kawasan berkenaan dianggap sebagai separa PKPD.

[Baca berita lanjut]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen