malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kita sokong bantu Rohingya atas prinsip, kata Anwar
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 8:03 PM
Dikemaskini: 12:03 PM
ADS

Anwar Ibrahim berkata nasib yang menimpa pelarian Rohingya adalah lebih kurang sama dengan apa yang menimpa penduduk Palestin di Asia Barat.

Menurut presiden PKR itu sokongan yang diberikan kepada pelarian Rohingya adalah sama dengan prinsip yang digunakan ke atas penduduk Palestin yang dizalimi Zionis.

“Mengapa kita sokong Palestin? Kerana rakyatnya dibunuh, dizalimi, diambil tanah. Jadi kita sokong Rohingya juga atas prinsip yang sama.

“Adakah itu bermakna kita tak jaga rakyat kita? Tidak," katanya menerusi video Tazkirah Nuril Anwar yang dipaparkan di media sosial hari ini.

Anwar juga menegaskan, sokongan dan bantuan yang patut diberikan bukan bermakna memberikan kewarganegaraan kepada pelarian terbabit.

Sebaliknya kata beliau, bantuan tersebut adalah dari segi kemanusiaan dan bersifat sementara di negara ini.

Untuk membolehkan ia dibuat, Anwar menjelaskan, kerajaan boleh menyediakan satu kawasan khas yang dikawal untuk menempatkan pelarian terbabit sementara menunggu mereka dihantar ke negara ketiga.

Ada membela, ada membenci

“Saya kata (cadangkan) buat kawasan sempadan bagi mereka duduk sehingga kita dan pada masa sama kita mendesak (kerajaan Myanmar) dari segi politik dan negara.

“Mana boleh Myanmar buang orang begitu sahaja dan kita kena tanggung,” katanya.

Isu Rohingya menarik perhatian ramai terutama dalam kalangan pengguna media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa mematahkan cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Bot tersebut membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi. 

Mereka kemudian diarah meninggalkan perairan negara.

Kejadian itu mencetuskan polemik hangat di media sosial dengan orang ramai terbahagi kepada beberapa kumpulan, seperti menyokong agar mereka dibantu dari segi kemanusiaan dan satu lagi menganggap pelarian terbabit hanya membawa masalah kepada negara.

Ia juga mengingatkan orang ramai kepada himpunan solidariti kerajaan BN kepada masyarakat Rohingya yang diadakan di Tasik Titiwangsa pada 2016 lalu.

Himpunan itu menghimpunkan pemimpin kanan Umno dan PAS di satu pentas ketika kedua-dua parti belum mengadakan kerjasama secara rasmi. Untuk rekod, Umno dan PAS kini sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

Anwar berkata pemimpin politik yang dulu "riuh-rendah" berucap di perhimpunan menyokong Rohingya agar tidak berdiam diri.

"Saya harap orang lama pun cakap pasal ni... pemimpin pun janganlah berdiam diri.

"Dulu sanggup buat perhimpunan, gantung sepanduk bukan main riuh rendah satu stadium... sekarang semua senyap sebab rakyat tengah marah.

“Memang betul, politik ini kena ikut selera rakyat, tapi mesti pertahankan yang hak, dan ini soal kemanusiaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen