Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berharap prinsip perdagangan bebas akan dapat terus dipertahankan dan tidak akan berlakunya penutupan sempadan perniagaan susulan Covid-19.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang rantaian bekalan barangan antarbangsa yang terjejas ekoran Covid-19, apabila banyak negara dilihat mengamalkan sikap ‘nasionalistik ekonomi’ yang boleh menjejaskan perdagangan bebas dunia.
Katanya, kini, memang terdapat sebahagian negara yang menunjukkan sikap mementingkan pasaran sendiri (inward looking) yang menurutnya berupaya merosakkan sistem perniagaan antarabangsa.
“Harapnya, prinsip perdagangan bebas ini tidak akan terhenti. Kalau kita tutup sempadan kita, keadaan (ekonomi) akan menjadi lebih buruk ...
“Sekarang adalah masa yang sukar. Harapnya, ia takkan sehingga menyebabkan penutupan sempadan, atau larangan eksport dan import,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi telesidang yang dianjurkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di Zoom, dikelolakan oleh ketua pegawai eksekutif Ideas, Ali Salman.
Jelas Mustapa, sikap mengetepikan prinsip pasaran bebas yang diamalkan sesetengah negara bertentangan dengan prinsip dan perjanjian yang mereka sendiri meterai, termasuklah yang disarankan oleh Pertubuhan Perdangangan Antarabangsa (WTO).
Meskipun belum melihat perkara tersebut berlaku di Asia Tenggara, katanya, bergerak ke hadapan, rundingan haruslah dilakukan sesama negara rantau ini bagi memastikan masa hadapan sistem perdagangan antarabangsa.
Malah, katanya lagi, dia turut berharap sekatan yang dikenakan di kebanyakan negara ekoran Covid-19 akan dapat ditamatkan dalam masa terdekat, bagi memastikan perdagangan akan dapat terus dijalankan dan memastikan rantaian bekalan barangan dapat terus dipertahankan.
Selain itu, beliau turut disoal mengenai apakah wujud pertimbangan untuk melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) terhadap aktiviti ekonomi di beberapa kawasan hijau yang mencatatkan bilangan kes sifar seperti Perlis.
Kata Mustapa, perkara itu bukanlah terletak di bawah bidang kuasanya, namun, berdasarkan pandangan peribadinya, kerajaan boleh mempertimbangkan lebih banyak aktiviti ekonomi agar dibenarkan beroperasi di kawasan tersebut.
“Ini di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tapi bergerak ke depan, PKP pun sudah dilanjutkan lagi dua minggu, saya rasa munasabah untuk pihak berkuasa pertimbangkan apa lagi boleh dibuka (aktiviti ekonomi),” katanya lagi.
Tambahnya, memang timbul pertimbangan di kalangan kerajaan berkenaan kebarangkalian melonggarkan (relaxing) pergerakan di kawasan-kawasan hijau, namun prioriti kerajaan tetap pada aspek kesihatan.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan PKP dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei dalam usaha memerangi Covid-19.