malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan kaji kaedah pemulihan ekonomi secara bertahap
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 1:34 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Ketika mengumumkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) buat kali ketiga iaitu sehingga 12 Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi gambaran tempoh sebenar pelaksanaan perintah itu mungkin lebih lama daripada tarikh terbaru itu.

Justeru, katanya, kerajaan sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara bertahap termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana.

Jelas Muhyiddin, ia bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

"Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara," katanya.

Tambah Muhyiddin, antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS (peniaga kecil dan sederhana), serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.

Kata Muhyiddin, sekiranya kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan dalam tempoh PKP dilaksanakan, kerajaan akan meluaskan lagi kebenaran beroperasi untuk sektor-sektor tertentu lain.

"Saya ingin memberikan sedikit bayangan. Walaupun PKP mungkin akan dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

"Pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan subsektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat," katanya.

Jelas Muhyiddin ia bagi menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat.

Sebelum ini, ketika PKP memasuki fasa ketiga pada 14 April, beberapa sektor perkhidmatan dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan industri automotif, mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk beroperasi.

Turut diberi kelonggaran adalah perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional berdaftar, perkhidmatan kedai ‘hardware’, barangan elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

PKP mula dikuastkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Ia pada mulanya dijadual berakhir 31 Mac, sebelum dilanjutkan kepada 14 April, sebelum dilanjutkan kepada 28 April, dan yang terbaru kepada 12 Mei.

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 5,603 kes kumulatif Covid-19, dengan 3,542 atau 63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan sudah pulih. Ini bermakna kes aktif di Malaysia 1,966 kes.

Setakat ini, 95 kematian berkaitan wabak itu direkodkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen