malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nurulhidayah nafi padam hantaran IG tentang isu murtad
ADS

Anak perempuan Presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, menafikan dia memadam hantaran berkaitan 'data' mengenai kadar murtad dalam kalangan orang Islam Malaysia seperti yang sebelum ini dimuat naik di Instagram.

Mendakwa ia berlaku secara automatik, Nurulhidayah berkata, memang penyedia media sosial seperti Instagram itu akan memadamkan hantaran jika menyentuh mengenai isu seperti murtad dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Sebenarnya bukan saya yang padam, Instagram yang padam.

"Kalau cerita pasal murtad, dan sebut pasal LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender), secara automatik akan dipadam.

“Banyak sebenarnya hantaran-hantaran saya (dipadam). Bukan saya padam, Instagram yang padam,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Dalam hantarannya semalam - dan sempat tular selepas ditangkap layar - Nurulhidayah mendakwa masalah murtad di negara ini begitu serius, lalu menarik perhatian warganet kerana dianggap tidak masuk akal.

Sesetengah mereka juga meminta Nurulhidayah menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya itu.

Semua ada hikmahnya

“Fakta: Tahukah anda, 9 antara 10 orang Islam telah murtad?” begitu bunyi di permulaan hantaran Nurulhidayah di Instagram yang turut ada menyentuh tentang LGBT.

Bagaimanapun hantaran tersebut tidak lagi dapat ditemukan.

Menjelaskan isu itu, Nurulhidayah memohon maaf atas hantarannya yang diakuinya mengelirukan orang ramai.

“Orang dah salah faham, sebab saya yang buat orang keliru sebenarnya,” katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, kata Nurulhidayah, meskipun perangkaan "sembilan antara 10" itu bukanlah merujuk rakyat beragama Islam di Malaysia secara keseluruhannya.

Nurulhidayah juga berkata perangkaan itu bukanlah direka-reka malah dia mempunyai penjelasan mengenai perangkaan tersebut.

 Bagaimanapun, tambahnya, dia tidak dapat membuat hebahan umum berhubung perangkaan itu kerana dimaklumkan maklumat tersebut berstatus sulit.

Pun begitu, bagi Nurulhidayah, dia memandang apa yang berlaku itu sebagai satu hikmah berhubung gejala murtad dan LGBT yang melanda negara.

Justeru, menjadi tanggunjgawab untuknya bertindak sebagai seorang Islam.

Malah tambahnya, dia turut mendapat sokongan daripada banyak pihak melalui pesanan peribadi di media sosial, yang memintanya terus memperjuangkan isu berkenaan.

Bagi pihak yang tidak senang, Nurulhidayah berkata, dia tidak boleh berbuat apa-apa.

Nurulhidayah dikatakan memuat naik hantaran mengenai murtad itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad, bersama suaminya. 


Baca Didakwa langgar PKP, anak Zahid cabar lapor polis


Selain itu, dia turut memuat naik gambar pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad, yang sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik ayahnya, Ahmad Zahid Hamidi.

Hantaran itu menerima reaksi negatif kerana dikatakan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuaskan ekoran wabak Covid-19, dari 18 Mac hingga ke 28 April ini.

Garis panduan yang ditetapkan di bawah PKP fasa kedua dan ketiga antara lain adalah hanya seorang yang dibenarkan dalam satu kereta dan perjalanan terhad dalam lingkungan 10km kecuali dengan kebenaran khas dari polis atau kebenaran untuk bekerja.

Sementara itu, berhubung hantaran di Instagramnya yang mendapat perhatian warganet, Nurulhidayah turut membuat permohonan maaf secara umum di Instagramnya

“Saya mohon maaf bagi diri saya kepada semua yang beragama Islam seandainya ada antara posting saya sejak semalam mengelirukan.

“Terima kasih kepada mereka yang sangat-sangat prihatin terhadap situasi yang saya hadapi dengan memberikan kata-kata semangat dan doa.

"Insya-Allah segala yang berlaku penuh hikmah dan pengajaran untuk kita memperbaiki setiap kelemahan yang ada,” tulisnya di Instagram.

Lihat Komen