malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairuddin menteri berfikir di luar kotak, kata PAS Melaka
Diterbitkan:  Apr 16, 2020 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM
ADS

Seorang pemimpin PAS Melaka hari ini tampil menganggap Dr Khairuddin Aman Razali sebagai menteri yang berwawasan jauh dan berfikir di luar kotak semasa bertegas mahu memajukan industri buluh negara.

Keta Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, berkata kehebatan Khairuddin itu terlihat apabila beliau berani menjadikan industri buluh sebagai game changer di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Katanya, MTIB sudah merangka pelan tindakan untuk memajukan industri berasaskan buluh pada 2016 lagi, iaitu dua tahun sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Oleh sebab itu berani saya katakan ini bukan brain child atau idea daripada Teressa Kok (bekas menteri industri utama PH) dan bukan juga Khairuddin.

"Tetapi yang hebatnya Khairuddin berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai game changer di bawah MTIB dan bukannya bawah MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysian)," katanya dalam satu kenyataan disiarkan harakahdaily hari ini.

Sejak semalam Khairuddin - yang juga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi - menjadi bahan sendaan selepas pihaknya mengumumkan cadangan memajukan industi buluh negara.

Hal itu terjadi kerana Khairuddin - pada 2019 - pernah mengecam Kok berhubung cadangan kerajaan PH ketika itu. Turut mempertikaikan cadangan Kok ialah Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, serta salah seorang ulama parti berkenaan, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Bentuk portfolio baru

Menurut Kok, kenyataannya mengenai penanaman buluh bermaksud agar pekebun mempelbagaikan sumber pendapatan mereka yang sebelum ini bergantung hanya kepada kelapa sawit.

Katanya penanaman berkenaan hanya disarankan sebagai sumber alternatif, bukannya menggantikan kelapa sawit.

"Kenyataan saya juga hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di negeri Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh," katanya pada 3 Mac 2019. 

Bakri berkata ramai orang tidak tahu bahawa buluh mempunyai potensi yang tinggi dalam sektor pembuatan perabot dan binaan.

Katanya, Kok memilih untuk "menukar sawit kepada buluh" sehingga cadangan itu menjadi jenaka pelbagai pihak.

"Tahukah kita bahawa buluh dan pokok getah juga sebahagian daripada tanaman yang diakui dan diiktiraf sebagai tanaman hutan dalam undang-undang Malaysia?

"Maka tidak salah dan sepatutnya kita berbangga mempunyai seorang menteri yang berfikiran jauh atau berfikir di luar kotak apabila beliau (Khairuddin) secara tegas mahu memajukan industri buluh (dan) dalam masa yang sama mencari pasaran baru minyak sawit ke Timur Tengah.

"Bukannya menyuruh rakyat Malaysia meminum satu sudu minyak sawit setiap hari," katanya lagi.

Bakri juga mencadangkan agar MTIB membentuk potfolio baru bagi menjamin kelancaran pengurusan dan pemasaran buluh.

"Secara langsung ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan di tingkat ladang, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri hiliran dan di peringkat pengurusan tinggi," katanya.

Lihat Komen