malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MTUC: Kurangkan kebergantungan pekerja asing lepas pulih Covid-19
ADS

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing selepas negara pulih dari wabak Covid- 19.

Menurut presidennya, Abdul Halim Mansor, negara sepatutnya mengutamakan pekerja tempatan yang telah kehilangan kerja sewaktu tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berlangsung sejak 18 Mac.

“Di waktu pemulihan selepas pandemik Covid-19, kerajaan mesti menutup kebenaran mengimpot pekerja asing.

“Tindakan ini adalah untuk negara supaya tidak bergantung kepada tenaga kerja asing tetapi membentuk dan utamakan tenaga kerja tempatan dalam semua skop pekerjaan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, kajian dari Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan seramai 2.4 juta orang di negara ini akan kehilangan kerja berikutan wabak Covid-19, di mana kira-kira 67 peratus daripada jumlah itu membabitkan pekerja tidak mahir dan kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Abdul Halim berkata demikian ketika mengulas mengenai bagaimana negara boleh menangani masalah ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan PKP.

Pada masa sama, beliau turut mengulas lanjut mengenai jalan alternatif bagi tempoh jangka masa panjang selepas negara pulih dari covid-19.

Pada 10 April lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan kehidupan baru bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Abdul Halim juga berkata pihak kerajaan dan majikan perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menghadapi wabak koronavirus, dan pada masa sama mampu menjana ekonomi negara.

“MTUC tidak mahu menggadaikan nyawa pekerja jika semata-mata kena bekerja kerana mengikut keperluan majikan waktu PKP berkuatkuasa.

“Jika PKP diteruskan majikan dan PKS tidak beroperasi. Sementara pekerja yang akan menghadapi bencana (terjejas), apabila majikan dan PKS mengatur strategi mengecilkan aktiviti dan mengurangkan kos.

“MTUC juga menggesa, kerajaan berbincang dengan majikan dan PKS bersama duta-duta pekerja asing yang “halal" atau “haram" (secara sah atau tidak sah) seramai melebihi 3 juta orang untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya. 

Lihat Komen