malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
KKM: Kadar jangkitan terkawal kerana semua pesakit Covid-19 dirawat
ADS

Malaysia berjaya mengawal kadar jangkitan Covid-19 kerana polisi yang diamalkan negara ini di mana semua pesakit positif virus berkenaan diasingkan dan diberi rawatan oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, amalan dilakukan Malaysia berbeza dengan beberapa negara lain, di mana hanya mereka yang menunjukkan simptom yang teruk diterima masuk ke hospital.

"Apabila kita melakukan ujian, jika pesakit masih didapati positif dengan virus ini, kita pastikan mereka tinggal di hospital (sehingga mereka bebas daripada virus).

"Ini berbeza daripada negara-negara lain. Seperti di UK sebagai contoh, mereka yang didapati positif tetapi menunjukkan gejala ringan dinasihatkan untuk tinggal di rumah.

"Tetapi kita (di Malaysia), apabila seseorang itu positif, kita mengasingkan mereka di hospital. Itulah sebabnya 88 peratus daripada kes-kes positif kita adalah mereka yang menunjukkan gejala yang sederhana.

"Apabila pemantauan dan rawatan diberikan (awal), kita akan mendapat keputusan lebih baik," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya petang ini.

Noor Hisham ditanya soalan apakah normal bagi pesakit Covid-19 di Malaysia dirawat di hospital untuk jangka masa yang lama dan sekiranya KKM berjaya menurunkan kadar jangkitan tempatan.

Menurut Noor Hisham, kadar jangkitan menunjukkan penurunan dibandingkan ketika negara ini pertama kali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan lalu.

"Sekarang setelah kita melakukan PKP fasa 1 dan 2, ratio atau 'R-Naught semakin berkurang. Dan yang lebih penting lagi, kita melihat jangkitan semakin menurun," katanya.

Menurut Noor Hisham, jumlah kes positif aktif sehingga hari ini berjumlah 2,342, setelah ditolak kes yang telah pulih sepenuhnya dan kematian.

Noor Hisham berkata, pihaknya berharap fasa 3 PKP yang bermula hari ini dapat membantu menurunkan kadar berkenaan.

"Oleh itu, jika kita dapat menurunkan lebih jauh, itu bermakna jangkitan dalam komuniti akan kurang," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen