malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Faiz: Lantikan politik PH bukan untuk agensi komersial
ADS

Lantikan politik untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sewaktu era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbeza dengan Perikatan Nasional (PN), kata Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Kata pemimpin Amanah itu, memang ada beberapa lantikan politik dibuat kerajaan PH semasa gabungan itu menjadi kerajaan sebelum ini, namun ia dibuat ke atas badan bukan komersial.

“Sebagai contoh, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) ada, tapi ia agensi kerajaan yang kakitangannya merupakan penjawat awam.

"Badan itu bertujuan untuk menguruskan hal ehwal kumpulan sasar di bawah MOA,” katanya kepada Malaysiakini.

Faiz yang juga bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menambah GLC yang ditubuhkan dengan tujuan komersial harus diterajui oleh golongan profesional.

“Oleh kerana GLC itu ditubuhkan bagi menjalankan perniagaan, ia seharusnya diterajui golongan teknokrat atau profesional supaya ia dapat menjalankan fungsi sebenar, bukannya tempat memberi habuan politik,” kata Faiz.

Isu lantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC menjadi perhatian ramai selepas seorang demi seorang ahli parlimen PN dibawa mengetuainya akhir-akhir ini.

Selain mengembalikan amalan kerajaan BN sebelum ini - dan diubah oleh PH kemudiannya - pemerhati berpendapat langkah tersebut dibuat sama ada sebagai imbuhan kepada ahli parlimen yang menyokong PN atau mengukuhkan pengaruh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan.

Untuk rekod PH dan sebahagian pemimpin Bersatu yang menyokong pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad, cuba mencabar keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Terdahulu, Anggota Parlimen Machang, Ahmad Yaakub dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk menggantikan tokoh profesional, Mohd Bakke Salleh yang dilaporkan diarahkan kerajaan untuk mengosongkan jawatannya.

Mengulas mengenai lantikan politik dalam GLC kini, Faiz berkata kerajaan PN tiada wawasan membawa perubahan seperti yang dilaksanakan kerajaan PH.

“Kebobrokan urus tadbir GLC yang berlaku sebelum ini sehingga wujud penyelewengan dan kerugian dibimbangi berulang jika wujud campur tangan politik seperti sekarang.

“Negara tidak akan maju jika reformasi insitusi tidak dilakukan PN, apatah lagi lantikan politik ini bukanlah dipilih rakyat kerana parti politik di dalam kerajaan PN adalah parti politik yang kalah dalam PRU yang lalu,” tambahnya lagi.

Lihat Komen