malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mat Hasan: Pelihara nyawa, lepas pandemik bergayalah semahunya
Diterbitkan:  Apr 13, 2020 4:37 AM
Dikemaskini: 6:11 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyeru kerajaan menimbangkan semula keputusan membuka semula beberapa jenis perniagaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebarang kebenaran untuk perniagaan dan perkhidmatan beroperasi semula perlu sesuai seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan orang ramai.

"Operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak atau non-essentials," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan membenarkan beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan beroperasi seperti sektor pembinaan, penyelidikan dan pembuatan.

Kerajaan juga membenarkan operasi kedai dobi dan kedai gunting rambut beroperasi semula selepas memutuskan pelanjutan PKP fasa ketiga sehingga 28 April 2020.

"Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan non-essentials ini jelas tidak bersetuju. Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

"Pelaksanaan PKP mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes Covid-19 yang agak stabil.

"Setiap dari kita harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kita. Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum," katanya.

Sementara itu, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata bahawa penganjuran bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

"Insyallah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya.

"Sehingga saat itu tiba, tugas semua kita ialah memutuskan rangkain pandemik ini dan mengurangkan jangkitan. Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen