malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nicole Wong mohon maaf kecam Siti Zailah tak layak jadi timb menteri
Diterbitkan:  Apr 11, 2020 8:40 PM
Dikemaskini: 3:28 PM
ADS

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong memohon maaf susulan kecamannya terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Mohd Yusoff.

Wong sebelum itu menyifakan Siti Zailah sebagai tak layak menjadi timbalan menteri susulan nasihat pemimpin PAS itu berkenaan isu hubungan rumah tangga.

"Oleh itu, saya ingin memohon maaf kepada Siti Zailah, dan memohon keampunannya.

"Saya membuat kesilapan apabila membuat penilaian terlalu cepat berdasarkan sumber satu pihak, dan tidak sepatutnya dilakukan.

"Kesalahan ini dilakukan oleh saya dan saya sendiri, dan tidak menunjukkan pendirian parti saya," katanya dalam catatan Facebook malam ini.

Jelas Wong, kritikannya terhadap Siti Zailah sebelum ini berdasarkan kandungan artikel Malaysiakini bertajuk 'SIS : Underlying tone in Siti Zailah's 'advisory' video wrong'.

"Selepas menonton sendiri klip video Siti Zailah, saya tak lagi mendapati kenyataanya sebagai sesuatu yang saya akan bantah. Dalam video itu, Siti Zailah memberi nasihat umum dan holistik tentang bagaimana menguruskan rumah tangga ketika PKP (perintah kawalan pergerakan)," katanya.

 

Terdahulu, dalam kiriman di media sosial yang kini sudah dipadam, Wong mengecam Siti Zailah dengan berkata: “Saya minta maaf kerana terpaksa bersuara, tetapi Siti Zailah tidak layak untuk menjadi timbalan menteri buat kementerian (KPWKM).

“Untuk berdiam diri terhadap tingkah laku ganas suami? Ia tidak boleh diterima”.

Semalam, Siti Zailah memuat naik rakaman video di media sosial dan  mengakui PKP boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.

Beliau kemudian memberikan tiga “tips” untuk meredakan tekanan, termasuk sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.

Siti Zailah juga berkata mangsa keganasan rumah tangga perlu menghubungi hotline Talian Kasih kendalian kementeriannya, untuk mendapatkan bantuan.

Meskipun beliau tidak berkata secara terang-terangan bahawa wanita perlu menerima, bersabar dan memaafkan pasangan yang bertindak ganas, sejumlah pihak, termasuk aktivis sosial Marina Mahathir, mentafsirkan mesej yang disampaikan dalam keseluruhan video itu, sebagai demikian.

NGO Sister in Islam (SIS) turut berkata mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami mereka adalah salah.

SIS turut menjelaskan bahawa Siti Zailah dan KPWKM sewajarnya lebih jelas dalam menyampaikan mesej berkenaan melindungi wanita dan kanak-kanak dalam hubungan yang berlakunya keganasan rumah tangga.

Lihat Komen