malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKP: Kedai gunting rambut, dobi bukan layan diri antara dibenar beroperasi
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 8:25 PM
Dikemaskini: 1:07 PM
ADS

Kerajaan memutuskan untuk memberi kebenaran terhadap sejumlah perkhidmatan dan sektor untuk beroperasi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antara yang dibenarkan ialah perkhidmatan gunting rambut asas, perkhidmatan dobi (servis penuh, bukan layan diri) dan industri automotif.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sektor lain yang turut dibenarkan ialah industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar, serta perkhidmatan kedai hardware, barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata.

Menterinya Azmin Ali berkata, syarikat-syarikat dalam sektor tersebut perlu membuat permohonan untuk menyambung operasi bermula Isnin ini (13 April) di lamannya.

"Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses," katanya lagi.

Azmin berkata lagi, syarikat dalam sektor tersebut yang dibenarkan beroperasi nanti wajib mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan (SOP).

"Selain itu, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

"Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan tindakan undang-undang," katanya lagi.

PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu antara lain melarang perkhidmatan dan perniagaan tidak penting daripada beroperasi.

Sejak itu, kerajaan negeri membenarkan beberapa perniagaan dibuka dengan waktu yang terhad, misalnya bengkel kereta dan kedai alat ganti di Sabah dan Selangor.

Hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dijadual berakhir 14 April, akan dilanjutkan dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April.

Dalam pada itu, Azmin memaklumkan kerajaan mendapati tahap pematuhan oleh syarikat yang dibenarkan beroperasi pada fasa pertama PKP adalah baik.

"Kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenal pasti sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.

"Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat," katanya lagi.

Lihat senarai penuh perkhidmatan dan sektor yang dibenarkan beroperasi di Lampiran 1:

 

Lihat Komen