BERITA

Rakyat jatuh miskin, kerajaan jangan kedekut

Dr Muhammed Abdul Khalid

10 Apr 2020, 12:36 pagi

Dikemaskini 3 bulan lepas

A
+
A
-

ULASAN | Walaupun sudah dua kali pakej rangsangan di umumkan dalam tempoh dua minggu, namun kesan kelewatan memberi bantuan dan strategi yang tidak menyeluruh sudah meninggalkan kesan kepada rakyat lebih awal dari jangkaan.

Ramai pekerja sudah hilang mata pencarian, dan ramai akan kekurangan makanan menjelang bulan puasa nanti.

Kajian daripada pihak Jabatan Perangkaan terhadap hampir 170,000 rakyat Malaysia yang diterbitkan pada 9 April 2020 menunjukkan bahawa hampir separuh golongan seperti Makcik Kiah yang bekerja sendiri hilang pekerjaan. Sementara itu, lagi satu pertiga mengalami penyusutan pendapatan hampir 90 peratus.

Jika kajian itu diguna pakai sebagai kayu ukur (representative) di seluruh Malaysia, kadar pengangguran pekerja anak tempatan kini adalah di kadar 16 peratus, bermakna daripada 12.8 juta pekerja Malaysia, hampir 2.1 juta sudah hilang mata pencarian.

Jika satu pekerja menyara empat orang ahli keluarga, seramai 8 juta rakyat Malaysia kini dalam kesusahan. Ramai keluarga di luar sana yang kini hidup kais pagi makan pagi.

Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Bantuan tunai bulanan buat Makcik Kiah

Kajian yang dilakukan pada tempoh 23 – 31 Mac 2020 itu menunjukkan data ngeri di mana separuh daripada kesemua pekerja sendiri tiada wang untuk menyara kehidupan untuk dua minggu, manakala lagi 28 peratus hanya cukup wang hingga hujung bulan ini.

Inilah yang beberapa ahli ekonomi sarankan, supaya bantuan tunai bulanan diberikan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan bekerja sendiri seperti Makcik Kiah, dan bukannya bantuan one-off sahaja. Ini menjadi tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

Kepada yang hilang mata pencarian dan yang bekerja sendiri seperti nelayan, jurujual, penjaja dan pekerja sendiri, bantuan tunai sebanyak RM1,200 setiap bulan harus diberikan selama enam bulan.

Ini lebih tinggi daripada bantuan RM1,600 dan RM1,000 one-off untuk hanya ketua isi keluarga B40 dan M40. 

Jumlah peruntukan tambahan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang bekerja sendiri adalah lebih kurang bersamaan dengan 1 peratus daripada ekonomi negara. Ini kita mampu.

Apa guna kedekut jika rakyat kebulur

Jika cadangan ramai pakar supaya bantuan kepada majikan diberikan secara bulanan selama tiga bulan akhirnya diterima oleh kerajaan sebagai dasar yang diumumkan hari Isnin lepas (di mana majikan PKS mendapat bantuan subsidi upah sebanyak RM1,200 setiap pekerja selama 3 bulan), seadilnya bantuan yang sama juga harus diberikan kepada pekerja sendiri.

Apa guna kita masih kedekut jika rakyat makin kebulur. Duit rizab simpanan Bank Negara Malaysia ada lebih kurang RM400 bilion, boleh saja dipinjam oleh kerajaan supaya rakyat dapat hidup.

Lupakan sementara defisit fiskal. Kerajaan masih mampu meminjam dan berbelanja untuk rakyat. Lagi pula kebanyakan negara di dunia tidak menghiraukan peratusan defisit fiskal mereka yang semakin membesar.

Singapura beberapa hari yang lalu melaksanakan bantuan tambahan di mana defisit fiskal mereka naik kepada hampir 9 peratus. Nyawa rakyat mereka diutamakan.

Ini krisis yang luar biasa. Segala kayu ukur dan cara penyelesaian masalah sebelum ini sudah tidak lagi boleh pakai. Keadaan baru memerlukan cara baru. Lupakan saja pemikiran yang tidak sesuai dengan keadaan yang terdesak akibat Covid-19.

Kini masanya untuk melakukan pendekatan yang tidak konvensional untuk membantu rakyat sejujurnya. Jika tidak, kadar pengangguran akan lebih teruk, dan ekonomi negara akan jatuh merudum.

Ikutlah seperti pepatah yang bijaksana, lebih baik mencegah dari mengubati, sebelum ianya terlambat.


MUHAMMED ABDUL KHALID ialah pakar ekonomi dan penulis buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.