malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syarikat penerbangan mesti pulangkan wang tunai - Matta
Diterbitkan:  Apr 8, 2020 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM
ADS

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata syarikat penerbangan seharusnya memulangkan bayaran tunai dan bukan menawarkan "kredit" untuk penerbangan yang dibatalkan semasa pandemik Covid-19.

Naib Presiden Matta (pengangkutan udara) Shazli Affuat Ghazali juga melahirkan kekecewaan berhubung sikap membungkam kerajaan terhadap syarikat penerbangan yang enggan membuat pembayaran balik.

"Keutamaan adalah bagi syarikat penerbangan memulangkan semula tunai dan bukannya mengeluarkan nota kredit yang nilainya mungkin kecil atau langsung tidak bernilai sekiranya mereka menjadi muflis.

"Meskipun mereka diselamatkan atau diberi pinjaman untuk meneruskan operasinya selepas pandemik itu, mereka mesti terlebih dahulu membayar balik wang untuk mengembalikan keyakinan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Adalah prinsip untuk mengembalikan bayaran yang dikutip daripada pelanggan untuk perkhidmatan yang tidak diberikan kerana keadaan luar biasa semasa."

Shazli berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), sebagai badan kawal selia, harus memantau pemulangan wang pelanggan.

"Kami kecewa dengan sikap membisu pihak berkuasa termasuk Kementerian Pengangkutan dan Mavcom.

"Salah satu fungsi Mavcom adalah untuk menyediakan satu mekanisme untuk melindung pengguna dan suruhanjaya itu sepatutnya tampil untuk mengumumkan dengan jelas langkah-langkah apa yang akan dilaksanakan atau akan diperkenalkan bagi pelanggan mendapatkan semula wang mereka,” katanya.

Beberapa syarikat penerbangan telah menangguhkan penerbangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara bermula pada 18 Mac, dalam langkah bertujuan untuk membanteras penularan Covid-19.

PKP itu sepatutnya berakhir pada 31 Mac tetapi dilanjutkan sehingga 14 April.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan tidak penting mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan meninggalkan rumah mereka atas alasan-alasan yang diluluskan.

Warga asing juga tidak dibenarkan masuk ke negara ini sementara rakyat Malaysia tidak dibenarkan keluar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen