malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar fail semakan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk semakan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dikemukakannya berkaitan keabsahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam permohonan yang difailkan bulan lepas melalui tetuan Chambers Leela J, Anwar mendakwa wujud ketidakadilan serius berikutan keputusan mahkamah enggan menjawab persoalan perlembagaannya.

Beliau berkata kerajaan selaku responden dalam kes itu telah membuat keputusan bahawa prosiding sivilnya di mahkamah tinggi harus dibatalkan tanpa perlu didengar.

Dalam notis usulnya Anwar berkata terdapat juga pelanggaran rukun keadilan semula jadi yang serius kerana beliau tidak diberi hak untuk didengar berhubung isu itu, sama ada persoalan perlembagaan yang dibangkitkan adalah abstrak, akademik atau hipotesis.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata majoriti membuat keputusan berdasarkan isu yang tidak pernah dibangkitkan oleh kerajaan.

Justeru Anwar memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan majoriti itu dan mahu badan tersebut mengeluarkan perintah yang wajar dan adil.

Pada 11 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata ia tidak menunjukkan bahawa kewujudan MKN mengganggu kehidupan peribadi Anwar.

Beliau memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke mahkamah tinggi untuk dibatalkan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah (sekarang telah bersara) dalam kumpulan minoriti memutuskan MKN adalah tidak berperlembagaan kerana ia tidak digubal mengikut keperluan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar MKN apabila mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan. Beliau menamakan MKN dan kerajaan selaku defendan.

Pada 14 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.

Selain hakim Nallini, hakim lain yang membuat keputusan majoriti ialah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Mahkamah Persekutuan Abang Iskandar Abang Hashim (sekarang Hakim Besar Sabah dan Sarawak), dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh serta Idrus Harun (sekarang Peguam Negara).

- Bernama

Lihat Komen