malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemandu teksi tawar khidmat percuma pada petugas barisan depan
ADS

Seorang pemandu teksi mengambil inisiatif menyediakan khidmat percuma penghantaran barangan keperluan kepada petugas kesihatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Fadilah Zakaria berkata idea membuat sumbangan berkenaan muncul selepas tidak mendapat tempahan perjalanan seperti biasa daripada pelanggan.

“Saya melakukan khidmat ini secara sukarela sebagai penghargaan kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani Covid-19 ini.

“Setakat ini saya sudah membuat penghantaran barang ke hospital sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fadilah juga menjelaskan beberapa pelanggan tetapnya masih terus menempah khidmatnya sepanjang PKP ini.

“Pelanggan tetap saya masih guna khidmat saya untuk menghantar mereka kedai membeli barang atau mempunyai urusan di luar," katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) berkata bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong bertauliah akan dimasukkan ke dalam akaun yang berdaftar pada 2 April.

Mengulas bantuan kepada pemandu teksi itu, Fadilah berkata dia merasa bersyukur.

“Dalam tempoh PKP sekarang, bantuan tersebut bukan sahaja boleh mengurangkan beban pendapatan tetapi perbelanjaan harian rumah juga," katanya lagi.

Menurut Fadilah, syarikat teksinya juga telah memberikan kelonggaran sewa kereta dengan potongan sewa harian sebanyak 50 peratus "bagi tempoh tiga bulan."

“Biasa saya perlu membayar RM70 sehari sekarang hanya RM35 bagi harga sewa kereta teksi," jelasnya lagi.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan juga berkata bayaran tersebut dibuat atas keprihatinan kerajaan mengenai dampak wabak Covid-19 terhadap semua golongan masyarakat, khususnya industri berkaitan pelancongan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen