malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MTUC bimbang pekerja tempatan akan kena buang
ADS

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah proaktif dalam menangani kesan ekonomi akibat wabak Covid-19, khususnya nasib golongan pekerja dan jaminan punca pendapatan mereka.

Ini susulan Bank Dunia meramalkan rakyat Malaysia golongan B40, M40 berisiko hilang punca pendapatan akibat negara berdepan kemelesetan ekonomi bagi tahun 2020 dengan pertumbuhan keluaran negara kasar merudum ke bawah negatif (-) 0.1 peratus.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor ketika diminta mengulas ramalan Bank Dunia pada hari ini berkata suatu kesepakatan perlu dicapai antara kerajaan, kesatuan sekerja dan majikan bagi mengelakkan keadaan tersebut berlaku.

"Ekonomi negara, ekonomi syarikat dan ekonomi pekerja menyumbang kepada KDNK negara.

"MTUC khuatir jika langkah tidak produktif diambil negara yang berisiko.

"MTUC tidak dapat nak bayangkan jika kita tidak bertindak langkah kedua majikan ialah, memberhenti operasi atau mengurangkan tenaga kerja," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Halim juga berkata sebelum pekerja tempatan diberhentikan, kerajaan perlu menggesa majikan menghantar pulang pekerja asing.

"Kerajaan mesti mengesa majikan menghantar semua lebih kurang 3 juta pekerja asing pulang sebelum pekerja tempatan ditamatkan perkhidmatan.

"Tindakan secara solidariti mesti diambil dalam langkah membangunkan semula ekonomi negara. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia," katanya lagi.

Dalam penerbitannya berjudul Kemas Kini Ekonomi Pasifik dan Asia Timur bulan April, Bank Dunia meramalkan hanya dua negara di Asia Tenggara yang mengalami pertumbuhan negatif, iaitu Malaysia dan Thailand.

Bank Dunia juga menjangkakan "kehilangan pekerjaan dan pendapatan dijangkakan (berlaku) di kalangan golongan 40 peratus terbawah (B40), malah (turut berlaku) di kalangan 40 peratus pertengahan (M40)."

"Bantuan ekonomi yang berkesan sangat bergantung terhadap bantuan sosial sedia ada yang teruji, seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan program Bantuan Sara Hidup serta insurans sosial pekerjaan seperti KWSP dan Skim Insurans Pekerjaan," kata institusi kewangan antarabangsa itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen