malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Pemulihan ekonomi selepas Covid-19 akan ambil masa lama’
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM
ADS

KORONAVIRUS l Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan dunia akan mengambil masa yang lama bagi memulihkan semula ekonomi masing-masing selepas krisis pandemik Covid-19.

"(Impaknya) dahsyat, dahsyat Apabila kita tidak bekerja, kita jadi tidak produktif, kita tidak membantu perniagaan dan tidak mewujudkan kekayaan.

"Jika kita pulih, akan ambil masa lama sebelum kita dapat membina semula ekonomi," katanya semasa sesi soal jawab di Facebook hari ini.

Mahathir sebelum ini berkata bahawa krisis Covid-19 adalah lebih buruk daripada krisis kewangan 1997 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Bercakap mengenai konteks tempatan, beliau berkata selepas tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, Malaysia perlu membina semula asas ekonominya.

"Kita akan mendapati bahawa sesetengah kerja akan dikurangkan, dan kita perlu bersedia untuk bekerja lebih keras.

"Dengan bekerja keras maka kita dapat memulihkan ekonomi dengan lebih pantas," katanya.

Mahathir, walau bagaimanapun, berkata bahawa PKP adalah perlu dan lengkuk jangkitan Covid-19 perlu dilandaikan.

Menurutnya, beliau banyak menghabiskan waktu di rumah dengan membaca dan menonton Netflix, khususnya siri mengenai penaklukan empayar Ottoman Sultan Mehmed II ke atas Constantinople (sekarang dinamakan Istanbul), yang dipercayai merujuk kepada rencana "Rise of Empires: Ottoman".

Ditanya soalan mengenai sama ada beliau lebih suka melakukan perjalanan ke masa silam atau masa depan, Mahathir berkata beliau lebih suka melihat semula masa lampau.

"Mungkin jika saya lakukan beberapa perkara, saya boleh ubah nasib masyarakat, bangsa saya, negara saya.

"Jika bergerak ke masa depan, saya tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Lihat Komen