malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Irwan Serigar cadang kembalikan GST dengan kadar lebih rendah
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 10:37 PM
Dikemaskini: 2:37 PM
ADS

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah mencadangkan kerajaan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan, dengan kadar yang lebih rendah.

Irwan berkata, ia akan membantu kerajaan meningkatkan hasil selepas peningkatan belanjawan defisit serta pakej rangsangan ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

"Defisit memang akan berlaku, mungkin 4.8 hingga lima peratus...Tetapi kita ada cara untuk kurangkan defisit bagi tahun-tahun akan datang jika kita laksanakan langkah untuk tambah pendapatan (kerajaan).

"Saya cadang agar kembalikan GST tahun depan agar kita tidak bergantung sangat pada harga minyak," katanya ketika wawancara atas talian di laman Facebook Bandar Baru Bangi Online Community.

Beliau ditanya sama ada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang diumumkan kerajaan semalam serta krisis Covid-19 akan memberi kesan kepada belanjawan defisit.

Sistem cukai GST, dengan kadar enam peratus, dimansuhkan kerajaan PH pada 2018. Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikembalikan untuk menggantikannya.

Irwan berkata jika GST dikembalikan, kerajaan boleh mengurangkan kadar kepada tiga hingga empat peratus.

Pelaksanaan pada tahun depan akan memberi masa kepada sistem cukai dan pihak berkaitan membuat persediaan untuk peralihan itu, katanya lagi.

Irwan juga mencadangkan agar kerajaan memulakan langkah penstrukturan semula untuk mengalihkan dana daripada projek tidak berteraskan rakyat kepada projek yang lebih diperlukan.

Ia termasuklah kemungkinan penstrukturan semula agensi kerajaan dengan menggunakan khidmat luar (outsource) untuk hal-hal tertentu, dalam usaha mengurangkan belanja pengurusan kerajaan.


Panduankini: Pakej rangsangan RM250 bilion, apa maksudnya?


Krisis Covid-19 telah menyebabkan harga minyak jatuh dengan begitu banyak, dan lebih rendah berbanding anggaran harga setong yang digunakan untuk merangka Belanjawan 2020.

Pandemik itu juga menjejaskan banyak perniagaan dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum semalam, RM10 bilion diperuntukkan untuk pemberian wang tunai kepada rakyat.

Bagaimanapun secara keseluruhan, kerajaan hanya dijangka membuat suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion menerusi pakej itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen