malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keadaan tidak lagi sama selepas PKP berakhir, kata Azmin
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 12:30 PM
Dikemaskini: 5:15 AM
ADS

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali memberi peringatan bahawa keadaan tidak lagi sama walau selepas berakhirnya, perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap dalam satu wawancara dengan RTM hari ini, Azmin yang juga menteri kanan berkata, kekuatan diperlukan dalam berdepan cabaran mendatang.

"Selepas PKP. walaupun keadaan akan menjadi lebih mencabar dan berbeza dengan sebelum ini, kita perlukan keteguhan (resilience) dalam berdepan cabaran mendatang," katanya.

Mengulas berkenaan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, Azmin berkata sukar untuk kerajaan "pergi ke kampung" dan berkata kepada "Makcik Kiah" dia tidak boleh diberi bantuan kerana defisit fiskal akan mencecah empat peratus.

"Makcik Kiah" merupakan perlambangan yang digunakan Muhyiddin dalam ucapannya semalam untuk menunjukkan manfaat yang diterima rakyat Malaysia daripada pelan kerajaan tersebut.

Azmin juga berkata kerajaan perlu mengubahsuai perbelanjaannya pada masa akan datang.

"Bantu rakyat dahulu, kemudian kita akan memberi tumpuan untuk menyediakan ruang fiskal bagi jangka panjang," katanya.

Katanya lagi, sekitar RM25 bilion daripada pakej rangsangan itu melibatkan suntikan langsung daripada kerajaan, tetapi menekankan baki selebihnya daripada pakej itu turut penting kerana ia untuk perniagaan terus berjalan.

"Walaupun suntikan fiskal RM25 bilion bagi manfaat terus kepada rakyat, (bahagian) yang lain untuk kukuhkan perniagaan termasuk syarikat. Ini kerana syarikat juga terkesan, bukan saja individu.

"Kita tidak mahu mereka buang pekerja, ia akan timbul masalah lebih besar. Jika buang pekerja, apabila tempoh gawat ini berkahir, mungkin hujung tahun, (proses) untuk bangunkan kapasiti tenaga kerja mungkin (perlu masa) lebih lama.

"Untuk selamatkan pekerja, keraaan perlu bantu syarikat dan beri suntikan aliran tunai," katanya lagi.

Banyak pihak memuji pakej yang diumumkan Muhyiddin itu, tetapi ada juga yang mengkritik bahawa hanya sebahagian kecil melibatkan pemindahan tunai secara terus, manakala kebanyakannya berkaitan penangguhan, seperti moratorium enam bulan untuk bayaran pinjaman.

Azmin menegaskan pakej itu dirangka selepas pertimbangan teliti terhadap kedudukan fiskal negara.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen