malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas mufti Johor saran solat jenazah ghaib untuk korban Covid-19
ADS

Bekas mufti Johor Nooh Gadut menyarankan agar umat Islam melakukan sembahyang jenazah ghaib buat mereka yang meninggal dunia akibat wabak Covid -19.

Beliau juga berpandangan orang Islam yang meninggal dunia akibat wabak itu adalah mati syahid akhirat.

"Saya ingin mengajak umat Islam supaya melakukan sembahyang jenazah ghaib di rumah masing-masing, sama ada secara sendirian ataupun berjemaah.

"Masih boleh melakukan sembahyang jenazah, kematian mereka yang disebabkan wabak itu adalah mati syahid.

"Bagi keluarga mangsa banyakkan bersabar dan berdoa, hidup mesti diteruskan," katanya kepada Malaysiakini.

Nooh Gadut

Setakat ini, sebanyak 20 pesakit di Malaysia telah meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Korban terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 76 tahun yang mempunyai kaitan dengan kluster Tabligh - kluster terbesar penularan wabak itu di Malaysia setakat ini.

Daripada keseluruhan 1,796 kes Covid-19, 1,057 daripadanya mempunyai kaitan dengan perhimpunan Tabligh yang berlangsung di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Nooh berkata para petugas hospital terutama doktor dan jururawat yang berdepan keadaan sukar dalam merawat pesakit Covid-19 boleh menunaikan sembahyang secara jamak.

"Bagi doktor mereka boleh menunaikan solat secara jamak, dalam situasi ini, Islam memberi kelonggaran," katanya yang juga penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj).

Dalam pada itu, Nooh berkata Mainj memperuntukan sebanyak RM6 juta bagi membantu asnaf yang terjejas akibat Covid-19 di negeri itu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM600,000 akan disumbangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Sebanyak RM1,000 bantuan akan diberikan kepada mereka yang dijangkiti wabak itu, termasuk pesakit bukan Islam.

Sumbangan bagi masyarakat bukan Islam akan menggunakan sumbangan baitulmal, katanya lagi.

Lihat Komen