malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Percepatkan semua bayaran kerajaan'
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 4:52 PM
Dikemaskini: 8:57 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional supaya segera mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tambahan dan memastikan kitaran wang dalam negara tidak terhenti.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu untuk mengurangkan tekanan ke atas perniagaan-perniagaan dan pekerja mereka dengan cara mempecepatkan bayaran kepada pembekal dan kontraktor yang memerlukan bayaran itu untuk membayar pekerja mereka.

“Golongan ini bukan kecil. Ramai rakyat yang akan terkesan jika bayaran lambat diterima.

“Jangan sekali dibiarkan bayaran ini menjadi lewat walaupun saya tahu ramai staf kerajaan yang mungkin terkesan oleh larangan pergerakan dan ini mungkin menjadi satu rintangan untuk memproseskan bayaran.

“Cari jalan untuk mempercepatkan proses bayaran kerajaan.

“Wang ini memang patut dibayar pun. Cuma tengok masa untuk dibayar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Mengulas lanjut, Najib berkata, langkah mempercepatkan bayaran tidak memerlukan kelulusan atau pindaan bajet negara kerana ia bukanlah bajet tambahan atau peruntukan baru.

“Cuma perlu kerajaan lebih peka kepada impak dari perkara ini,” katanya.

Selain itu ahli Parlimen Pekan itu juga menggesa supaya kerajaan memastikan usaha kitaran wang dalam ekonomi serta bekalan makanan dan barangan asas tidak putus.

Mengulas cadangannya itu, beliau turut berkongsi pautan hantarannya pada 23 Mac mengenai empat perkara yang perlu menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani krisis Covid-19 di negara ini.

Beliau turut menggesa supaya pengumuman pakej rangsangan ekonomi disegerakan.

Muhyiddin dalam ucapannya hari ini mengumumkan bahawa pakej rangsangan ekonomi tambahan itu akan didedahkannya pada Jumaat, 27 Mac ini.

“Jika boleh, jangan tunggu hingga 30 Mac untuk diumumkan sekaligus.

“Umumkan bantuan sebaik sahaja ia telah dipastikan dan diluluskan.

“Pada 30 Mac, kerajaan PN masih boleh kumpul dan ulang semula apa yang pernah diumumkan pada hari-hari sebelumnya dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi hari itu,” katanya.

Lihat Komen