malaysiakini logo
ADS
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Bantu semua tanpa kira bangsa dan agama'
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 2:24 PM
Dikemaskini: 6:32 AM
ADS

KORONAVIRUS l Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa organisasi-organisasi kebajikan dan pusat pengumpulan zakat di seluruh negara untuk "tampil" membantu rakyat Malaysia yang memerlukan ketika berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam ucapan televisyen ke seluruh negara, hari ini bagi mengumumkan bahawa tempoh PKP akan dilanjutkan hingga 14 April ini, Muhyiddin juga berkata beliau berharap pusat pengumpulan zakat akan memainkan peranan lebih “proaktif” untuk membantu para asnaf.

Katanya, beliau percaya kumpulan itu sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini.

“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya.

Menurutnya, pada mesyuarat kabinet hari ini, beliau telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

ADS

Muhyiddin juga berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

Sehubungan itu, beliau juga menggesa organisasi-organisasi kebajikan supaya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya gesa semua pertubuhan kebajikan di negara ini supaya tampil dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama ketika waktu yang menduga ini.

ADS

"Kesukaran yang mereka lalui tidak pernah berlaku sebelum ini. Dan saya percaya anda semua boleh melakukan sesuatu yang bermakna untuk meringankan beban mereka," katanya,

Muhyiddin berkata beliau menyedari bahawa petugas-petugas di barisan hadapan, khususnya para doktor, jururawat dan kakitangan hospitalamat keletihan pada masa ini.

Sambil mendoakan agar mereka terus cekal, katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan untuk mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.

“Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara.

“Kita telah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.

“Justeru, saya ingin mengajak saudara-saudari sekalian manadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar diri kita, keluarga kita, negara kita dan seluruh umat manusia dilindungi oleh-Nya.

“Kepada penganut agama bukan Islam, saudara-saudari bertafakkur dan berdoalah mengikut ajaran agama masing-masing,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen