malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerani rugi RM54,000 beli penutup mulut melalui WhatsApp
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 1:29 PM
Dikemaskini: 5:29 AM
ADS

Seorang kerani wanita di sebuah syarikat automotif di Alor Gajah kerugian RM54,000 selepas dipercayai tertipu dengan urusniaga penutup mulut dan hidung melalui aplikasi WhatsApp, 15 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, mangsa yang berusia 37 tahun itu mendakwa membeli penutup muka berkenaan untuk menjualnya semula kepada orang ramai selain untuk kegunaannya memandangkan penularan wabak Covid-19.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah berurusan dengan seorang suspek yang juga wanita melalui WhatsApp dari rumahnya di Taman Samarinda bagi pembelian 3,364 kotak penutup muka.

“Mangsa diminta membuat pembayaran ke akaun CIMB atas nama ‘Rita’ dan dia kemudian membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM54,000 di CIMB dan Maybank pada 16 dan 17 Mac,” katanya dalam kenyataan diAlor Gajah, hari ini.

Beliau berkata selepas pembayaran dilakukan, mangsa dijanjikan bahawa topeng muka itu akan dihantar ke rumahnya menggunakan lori pada 8.00 malam, 17 Mac, namun sehingga kini dia tidak menerima barang berkenaan dan penjual gagal dihubungi.

“Mangsa merasakan bahawa dirinya ditipu oleh individu terbabit sehingga mengalami kerugian dan membuat laporan polis,” kata Arshad sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mangsa mendakwa wang yang digunakan untuk membayar penutup mulut dan hidung itu berjumlah RM54,000 adalah hasil wang yang dikumpul daripada beberapa kenalannya.

Dalam pada itu, Arshad turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan penutup mulut dan hidung yang tidak wujud ketika penularan COVID-19, yang diiklankan melalui pesanan ringkas dan sebarang aplikasi.

- Bernama

Lihat Komen