malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak benar tentera ambil alih tugas polis, kata menteri pertahanan
ADS

Putrajaya menafikan khabar angin bahawa tentera sedang mengambil alih tugas polis dalam penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memberitahu pada sidang media hari ini bahawa penglibatan Angkatan Tentera dalam memantau pematuhan larangan itu yang bermula hari ini, hanya bertujuan untuk membantu pihak polis.

Beliau menegaskan penguatkuasaan perintah tersebut juga dibuat di bawah Akta Kementerian Kesihatan, dan bukannya di bawah undang-undang kecemasan negara.

"Terdapat banyak cerita tidak benar yang disebarkan, sehingga kereta kebal akan diletakkan di semua sekatan jalan.

“Mungkin kelakar bila dengar, tapi ini adalah cerita yang telah disebarkan, direka untuk mewujudkan ketakutan di kalangan orang ramai.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia adalah untuk membantu, bersama polis dalam menasihati orang ramai," katanya.

Kuasa untuk menahan sesiapa yang didapati melanggar perintah itu juga berada dalam kuasa polis, kata Ismail.

"Mereka yang mengatakan tentera mengambil alih tugas polis itu tidak benar sama sekali."

Menjelaskan lebih lanjut, menteri kanan berkata lebih kurang 50,000 anggota keselamatan terdiri daripada tentera, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan kini memantau pematuhan orang ramai terhadap perintah kawalan pergerakan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, selain majlis keselamatan negeri, pusat pengurusan bencana daerah juga akan digerakkan untuk menguatkuasakan dengan tegas peraturan itu.

Menurut Ismail Sabri meski pun setakat ini polis mendapati kadar pematuhan terhadap perintah itu adalah 90 peratus, beliau memandang serius baki 10 peratus itu memandangkan bilangan mereka juga besar jika diambil kira bilangan penduduk lebih 31 juta orang di negara ini.

Kerajaan juga akan menempatkan polis dan tentera di kawasan pasar, pasar raya bagi memantau pematuhan langkah penjarakkan sosial, katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen